Gempur warga asing bukan satu diskriminasi

Seramai 1,101 PATI ditahan di Jalan Silang, Kuala Lumpur pada 21 Disember lalu.
Seramai 1,101 PATI ditahan di Jalan Silang, Kuala Lumpur pada 21 Disember lalu.
A
A
A

BEBERAPA siri serbuan menggempur lokasi panas warga asing di seluruh negara mengesan ramai peniaga menggajikan pendatang asing tanpa izin (PATI).

Penyewa premis pula didapati memberi sewa kepada warga asing secara ali baba bagi mengaut keuntungan atas angin tanpa menghiraukan aspek kebersihan, kesihatan dan keselamatan awam.

Tindakan tidak bertanggungjawab itu mewujudkan lambakan warga asing di sesuatu kawasan tumpuan ramai termasuk di ibu kota sehingga mencetuskan rasa kurang senang dalam kalangan orang tempatan.

Malah, terdapat kumpulan warga asing yang bersikap besar kepala dan bercakap kasar terhadap pengunjung seolah-olah mereka menguasai kawasan tersebut.

Malaysia tidak mendiskriminasikan warga asing, malah tenaga kerja golongan berkenaan amat diperlukan untuk sektor tertentu bagi merancakkan pembangunan ekonomi.

Perbuatan menggaji PATI dan ali baba premis perniagaan tidak boleh dikompromi kerana membuka ruang kepada gejala rasuah termasuk membabitkan pihak penguat kuasa.

Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerusi Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman telah menyatakan komitmen memburu tekong, dalang dan ali baba yang terlibat dalam isu PATI.

Kerajaan juga kini sedang mempertimbangkan undang-undang anti ali baba yang membolehkan tindakan tegas diambil terhadap pengkhianat itu.

Artikel Berkaitan:

Menurut Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli, masalah membabitkan lesen perniagaan disewakan kepada warga asing berlaku disebabkan kebanjiran kelompok itu di negara ini sejak puluhan tahun.

Sebenarnya, isu lambakan pendatang asing bermula daripada pergantungan keterlaluan kepada golongan terbabit terutama dalam sektor pekerjaan 3D iaitu kotor, bahaya dan sukar.

Majikan memberi alasan rakyat tempatan tidak mahu bekerja dalam industri berkenaan dan apabila pekerja asing semakin ramai, segelintir peniaga bertindak menyewakan dan memberi lesen dengan cara ali baba pula.

Bukan sahaja dalam sektor runcit, malah perbuatan itu juga wujud dalam perolehan projek, subsidi, permit dan lain-lain sehingga kerajaan kehilangan bilion ringgit akibat ketirisan.

Ketiadaan undang-undang khusus membanteras amalan ali baba menyebabkan ada pihak mengambil kesempatan mengaut keuntungan mudah.