50 tahun hubungan Malaysia-China

A
A
A

Presiden China, Xi Jinping bertemu dengan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Presiden China, Xi Jinping bertemu dengan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Penghujung tahun 2023 sudah tiba, mengimbas kembali detik-detik sepanjang tahun ini, acara kemuncak yang tercatat dalam sejarah hubungan China-Malaysia dilihat telah memberikan manfaat kepada kedua-dua negara.

Jalinan kerjasama yang baik kedua-dua negara sejak beberapa dekad lalu diharap akan berterusan sekali gus memperkasa perkongsian strategik yang komprehensif.

Tahun 2023 ialah ulang tahun ke-10 penubuhan Perkongsian Strategik Komprehensif China-Malaysia, malah juga ulang tahun ke-10 konsep komuniti global berkongsi nasib sesama insan, inisiatif Jalur dan Laluan (Belt and Road) serta diplomasi kejiranan berprinsipkan akrab, ikhlas, manfaat dan inklusif yang kesemuanya dikemukakan oleh Presiden China, Xi Jinping.

Tahun ini sangat penting dan istimewa untuk kedua-dua China dan Malaysia antaranya pertukaran peringkat tinggi yang kerap melakar lembaran baharu kesalingpercayaan politik.

Dalam lawatan rasmi ke China pada bulan Mac, Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim mencapai konsensus penting bersama Xi Jinping mengenai pembinaan komuniti China-Malaysia berkongsi nasib sekali gus merangka blueprint untuk perkembangan hubungan China-Malaysia pada masa depan.

Pada September, Anwar mengadakan lawatan rasmi ke China buat kali kedua untuk menghadiri Ekspo China-ASEAN (CAEXPO) ke-20 yang menggalakkan kerjasama perdagangan antara kedua-dua negara dalam usaha bersama mewujudkan rantaian industri dan bekalan serantau yang lebih stabil dan lancar.

Artikel Berkaitan:

Malah, Pengerusi Kongres Rakyat Kebangsaan (NPC) China, Zhao Leji dan Yang di-Pertua Dewan Rakyat Malaysia, Tan Sri Johari Abdul berjaya mengadakan pertukaran lawatan antara pemimpin badan legislatif dua negara dalam tahun ini.

Selain itu, China dan Malaysia telah menandatangani Protokol Pertama untuk Meminda Perjanjian Memperluaskan dan Memperdalamkan Kerjasama Ekonomi dan Perdagangan, sekali gus meletakkan asas kukuh untuk dasar kerjasama selanjutnya.

China merupakan rakan dagang terbesar Malaysia selama 14 tahun berturut-turut dan Malaysia merupakan rakan dagang kedua terbesar China di ASEAN.

Menurut perangkaan China, dalam 10 bulan pertama tahun 2023, jumlah perdagangan dua hala China-Malaysia mencecah AS$155.73 bilion (RM721.26 bilion) merangkumi 20.8 peratus daripada jumlah perdagangan China-ASEAN pada tempoh yang sama.

Pada tahun 2022, pelaburan China dalam pelbagai sektor Malaysia mencecah AS$12.5 bilion (RM57.89 bilion). Pelbagai kerjasama pelaburan telah membuahkan hasil, malah menjadikan situasi menang-menang antara China dan Malaysia.

Kerjasama mantap

Taman Industri Kuantan Malaysia-China (MCKIP) menyambut ulang tahun ke-10 telah menyaksikan sebanyak 13 projek ditandatangani dengan nilai perjanjian pelaburan melebihi 46 bilion yuan (RM29.81 bilion) dan jumlah keluaran industri bernilai 60 bilion yuan (RM38.88 bilion).

Selain itu, Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) sedang giat dibina dan sehingga November, 56.35 peratus pembinaan ECRL telah siap. Empangan Hidroelektrik Baleh yang dibina oleh China Gezhouba Group telah memasuki fasa pembinaan utama dan ia dijangka akan membekalkan sumber tenaga hidro yang mencukupi untuk pembangunan masa depan Sarawak.

Pembinaan Projek Landasan Berkembar Elektrik (EDTP) Gemas-Johor Bahru yang dibina oleh syarikat China telah siap sebanyak 94 peratus dan dijangka siap pada tahun depan. Ia akan mempertingkatkan aliran pelancong dan kargo, serta memacu lagi pembangunan ekonomi selatan Semenanjung Malaysia.

Susulan Malaysia melancarkan Dasar Revolusi Perindustrian Keempat (4IR), Pelan Induk Perindustrian Baru 2030 (NIMP 2030), Rangka Tindakan (Blueprint) Ekonomi Digital Malaysia (MyDIGITAL) dan berbagai dasar, syarikat teknologi tinggi China telah mula meningkatkan pelaburan mereka di Malaysia.

Keyakinan ini diperkukuhkan dalam kerjasama ekonomi digital, pembangunan hijau, tenaga baharu dan sektor-sektor lain dipacu secara menyeluruh. Geely merancang melabur AS$10 bilion (RM 46.31 bilion) bagi pembangunan Lembah Teknologi Tinggi Automotif (AHTV) di Malaysia.

Perusahaan kenderaan seperti BYD, Chery, Great Wall Motor (GWM) turut giat berkembang ke pasaran Malaysia. Kenderaan tenaga baharu (NEV) China meraih sambutan dan jualan memberangsangkan seperti yang dilihat menyusur di atas jalan raya.

Perusahaan telekomunikasi seperti Huawei, ZTE dan lain-lain menjalin kerjasama dengan syarikat tempatan dalam usaha menyediakan perkhidmatan rangkaian komunikasi yang lebih baik kepada pengguna Malaysia, serta menjayakan Malaysia sebagai hab ekonomi digital di Asia Tenggara.

Jalinan tamadun global

Dialog Kepimpinan Islam-Konfusianisme telah berjaya diadakan di Malaysia dengan kehadiran Anwar, akademia kedua-dua negara mengukuhkan dialog kebijaksanaan Islam dan Konfusianisme lalu menunjukkan jalinan tamadun global untuk pembelajaran, pembangunan dan kemajuan bersama.

Sejak 1 Disember lalu, China dan Malaysia telah mula melaksanakan dasar pengecualian visa sesama rakyat dua negara, dasar itu mendapat sambutan baik daripada orang ramai.

Kedua-dua negara juga berpegang teguh pada multilateral sebenar serta saling menyokong di Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHCR), Pertubuhan Maritim Antarabangsa (IMO) dan pertubuhan lain dalam mempertahankan kesaksamaan dan keadilan antarabangsa, serta menjaga kepentingan bersama sebilangan besar negara membangun.

Sejak konflik Palestin-Israel tercetus, China telah menggerakkan usaha perdamaian dan menyelamatkan nyawa. China telah mempengerusikan mesyuarat Peringkat Tinggi Majlis Keselamatan PBB berhubung isu Palestin-Israel dan mendapat sokongan negara-negara Islam termasuk Malaysia.

Kita berdiri bersama di sisi kedamaian dan keadilan, di sisi sejarah yang betul. Kita akan melontar suara kuat supaya gencatan senjata diadakan, perang dihentikan dan bantuan kemanusiaan disalurkan.

Persahabatan China-Malaysia berkongsi sejarah panjang malah tidak berubah mengharungi perubahan zaman.

Sanjung tinggi

Ketika bertukar-tukar idea berhubung tadbir urus dan peradaban manusia, Anwar dan Xi Jinping mempunyai pendapat yang sama.

OUYANG YUJING
OUYANG YUJING

Dalam pelbagai kesempatan, Anwar menyanjung tinggi atas konsep komuniti berkongsi nasib sesama insan, serta Inisiatif Pembangunan Global (GDI), Inisiatif Keselamatan Global (GSI) dan Inisiatif Peradaban Global (GCI) yang dicadangkan oleh Jinping.

Xi Jinping turut menyanjung tinggi konsep Malaysia MADANI yang diperkenalkan oleh Anwar.

Semangat pemimpin dua negara mendorong perkembangan hubungan China-Malaysia. Kerjasama pragmatik dan persefahaman peringkat tinggi adalah jaminan persahabatan China-Malaysia.

Rakyat dua negara yang saling memahami dan menyayangi adalah asas persahabatan China-Malaysia. Keikhlasan adalah kunci kepada persahabatan kekal abadi.

Kita harus menjadikan kelangsungan kerjasama baik China-Malaysia sebagai misi bersama bagi memperdalamkan pertukaran sesama rakyat dan antara budaya, menggalakkan pertukaran lawatan antara anak muda dua negara, memperluaskan kerjasama akademik dan kerjasama penyelidikan saintifik supaya pelita persahabatan terus menyala secara turun-temurun.

Tahun depan, China akan terus melangkah ke arah membina negara sosialis moden secara menyeluruh. Malaysia turut akan mencapai perkembangan baharu di bawah pimpinan Kerajaan Perpaduan.

TYT Ouyang Yujing ialah Duta Besar.

Republik Rakyat China ke Malaysia