Hina Agong: Pekida sokong lucut kerakyatan

Ngah Ismail
Ngah Ismail
A
A
A

KUANTAN – Pertubuhan Kebajikan Dakwah Islamiah Malaysia (Pekida) menyokong penuh saranan melucutkan kerakyatan terhadap individu yang menghina institusi raja Melayu di negara ini.

Pengerusi Pekida Pahang, Datuk Ngah Ismail berkata, jika ada klausa yang membenarkan perkara itu, seharusnya kerajaan atau agensi terlibat melaksanakannya dengan kadar segera.

Menurutnya, menerusi cara itu sahaja boleh mendidik dan mengajar individu supaya lebih waras dalam berkata-kata atau memberikan komen di laman sosial Facebook.

“Kalau ada klausa sedemikian (lucut kerakyatan) saya setuju seratus peratus, supaya individu yang berani hina raja Melayu boleh dibuang negara.

“Jadi mereka boleh pergi mana-mana negara lain untuk menetap bukan berada di negara ini.

“Saya rasa Melayu sudah cukup bertolak ansur dengan kaum lain.. Jadi janganlah langgar ketuanan Melayu dan raja-raja Melayu,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Semalam, beberapa pihak menyarankan agar tindakan tegas diambil terhadap individu yang menghina raja Melayu termasuk dilucutkan kerakyatan.

Malah, sebuah laman Facebook, Calon Lucut Kewarganegaraan Malaysia –CLKM telah diwujudkan dengan menyenaraikan beberapa nama rakyat di negara ini yang boleh dilucutkan kewarganegaraan.

Artikel Berkaitan:

Calon yang disenaraikan ialah netizen yang membuat kenyataan di media sosial khususnya bertentangan dengan prinsip Rukun Negara dan Perlembagaan.

Dalam pada itu, katanya, kenyataan berbaur penghinaan terhadap raja Melayu sering berlaku dan seharusnya perkara ini diambil tindakan segera.

Jelasnya, sekiranya dibiarkan tanpa dibendung, ia akan terus melarat dan boleh mendatangkan kemudaratan kelak.

“Saya mahu tindakan segera diambil kepada individu yang telah dikenal pasti. Beri pengajaran kepada mereka.

“Bila sudah ada tindakan orang lain pun tidak akan berani melakukan perbuatan sedemikian,” katanya.