Penunggang motosikal rentung kemalangan dengan lori

Seorang penunggang motosikal rentung dalam kemalangan dengan sebuah lori di hadapan sebuah stesen minyak sini pada Rabu.
Seorang penunggang motosikal rentung dalam kemalangan dengan sebuah lori di hadapan sebuah stesen minyak sini pada Rabu.
A
A
A

CHANGLUN - Seorang lelaki rentung selepas motosikal ditunggangnya terbakar dalam kemalangan dengan sebuah lori di hadapan sebuah stesen minyak di sini pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintenden Rodzi Abu Hassan berkata, pihak polis menerima maklumat kemalangan membabitkan sebuah lori dengan sebuah motosikal itu pada jam 5.45 petang.

"Penunggang motosikal disahkan maut dalam kejadian itu.

"Maklumat lanjut berhubung kejadian ini akan dimaklumkan kemudian kerana masih dalam siasatan," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Kayu Hitam, Penolong Penguasa Bomba Zulkifli Manaf berkata, sepasukan anggota dari BBP Bukit Kayu Hitam digerakkan ke lokasi untuk melakukan penyelamatan selepas menerima panggilan pada jam 5.36 petang.

Beliau memaklumkan, mangsa dipercayai seorang lelaki ditemui rentung dengan kesan melecur sebanyak 60 peratus.

"Mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan yang tiba di lokasi tidak lama kemudian," katanya.

Tambah beliau, pihaknya melakukan pemadaman menggunakan dua aliran saluran air dari jentera bomba dan api kemudiannya berjaya dikawal.

Artikel Berkaitan:

Zulkifli memberitahu, mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut dan punca kebakaran masih dalam siasatan.