PTPTN terima RM90.42 juta insentif bayaran pinjaman daripada Sarawak

Gambar hiasan - Foto Bernama
Gambar hiasan - Foto Bernama
A
A
A

KUCHING - Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menerima bayaran berjumlah RM90.42 juta daripada kerajaan Sarawak setakat ini, untuk menyelesaikan sekurang-kurangnya 30 peratus hutang peminjam PTPTN dalam kalangan anak negeri itu.

Pengerusi PTPTN, Datuk Norliza Abdul Rahim berkata, jumlah itu diperoleh sejak PTPTN dan Yayasan Sarawak memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bagi kerjasama Insentif Bayaran Balik Pinjaman PTPTN Anak Sarawak pada 5 Mac 2021.

"Pada hari ini, Yayasan Sarawak sekali lagi menyalurkan peruntukan insentif bayaran balik pinjaman PTPTN kepada anak-anak Sarawak berjumlah RM12.43 juta dan dianggarkan sebanyak 3,000 peminjam yang layak akan menerima insentif itu.

"Ini menjadikan jumlah keseluruhan yang disalurkan oleh Kerajaan Negeri Sarawak berjumlah RM90.42 juta yang memberi manfaat kepada lebih 25,000 peminjam PTPTN dalam kalangan anak Sarawak," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Kenyataan itu dikeluarkan susulan majlis penyerahan cek bagi bayaran terbaharu di bawah insentif berkenaan daripada Yayasan Sarawak bagi baki hutang peminjam PTPTN dari negeri itu yang diadakan di Menara PTPTN Kuala Lumpur.

Replika cek telah diserahkan Timbalan Pengarah Pendidikan Yayasan Sarawak Louis Simon Peter kepada Ketua Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid.

"Pelaksanaan insentif bayaran balik pinjaman PTPTN kepada anak Sarawak merupakan kesinambungan inisiatif Belanjawan Negeri Sarawak 2020," menurut kenyataan itu.

Hal ini disusuli satu memorandum persefahaman antara PTPTN dengan Yayasan Sarawak pada 5 Mac 2021 kerjasama Insentif Bayaran Balik Pinjaman PTPTN Anak Sarawak.

Artikel Berkaitan:

Melalui kerjasama ini, Kerajaan Negeri Sarawak akan membayar sebanyak 30 peratus daripada baki hutang pinjaman PTPTN terkini bagi peminjam yang telah menyelesaikan sekurang-kurangnya 30 peratus hutang pinjaman mereka.

"PTPTN berharap agar pemberian insentif bayaran balik pinjaman kepada anak Sarawak diteruskan lagi pada masa akan datang bagi manfaat anak Sarawak, sekali gus membantu merealisasikan impian generasi akan datang dalam pendidikan tinggi,” kata Norliza. - Bernama