X

Kindly register in order to view this article
!

Lesap RM23,000 gara-gara tawaran pinjaman RM1.2 juta

Mohd Wazir
A
A

KUANTAN - Seorang wanita kerugian RM23,000 selepas diperdaya anggota sindiket scammer yang menawarkan pinjaman tidak wujud kepada suaminya pertengahan Disember lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, mangsa yang berusia 35 dikatakan menerima tawaran itu melalui pesanan aplikasi WhatsApp milik suaminya dan bersetuju membuat pinjaman sebanyak RM1.3 juta.

Menurutnya, pinjaman sebanyak itu diperlukan bagi menambah modal projek perkhidmatan penghantaran minyak diesel kepada agensi bukan kerajaan di sekitar Johor Bharu yang sedang dikendalikan mereka.

"Selepas bersetuju dengan jumlah pinjaman itu, suspek meminta mangsa membuat pembayaran bagi proses pinjaman sebanyak RM26,000. Mangsa memaklumkan dia hanya mempunyai wang RM23,000 sahaja.

"Suspek bersetuju dengan bayaran sebanyak itu dan meminta mangsa memasukkan wang terbabit ke dalam akaun sebuah bank milik seorang wanita," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd Wazir berkata, selepas masukkan wang tersebut dua hari lalu suspek meminta mangsa membuat penambahan wang.

"Mangsa yang menyedari ditipu kemudian membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan kerana merasakan dirinya telah ditipu.

Sementara itu, Mohd Wazir berkata, modus operandi yang digunakan suspek ialah dengan memperdaya mangsa dengan menawarkan pinjaman yang tidak wujud.

Jelasnya, tindakan ini mendorong mangsa masukkan wang ke dalam akaun yang diberikan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus