Keluarga tuntut wang RM13,200 daripada pihak katering

Keluarga pengantin perempuan yang didakwa menjadi mangsa penipuan sebuah syarikat katering tetap berharap wang bayaran berjumlah RM13,200 dipulangkan semula. Gambar kecil: Burhanuddin Rabbani
Keluarga pengantin perempuan yang didakwa menjadi mangsa penipuan sebuah syarikat katering tetap berharap wang bayaran berjumlah RM13,200 dipulangkan semula. Gambar kecil: Burhanuddin Rabbani
A
A
A

JEMPOL- Keluarga pengantin perempuan yang didakwa menjadi mangsa penipuan sebuah syarikat katering di Shah Alam, Selangor tetap berharap wang bayaran berjumlah RM13,200 dipulangkan semula.

Wakil keluarga yang juga abang kepada pengantin perempuan, Burhanuddin Rabbani Abdul Shukor, 31, berkata, talian telefon pihak katering itu masih boleh dihubungi, namun kecewa apabila gagal menerima sebarang maklum balas.

"Saya mahu mereka pulangkan semula wang berkenaan, ia bukan jumlah yang sedikit tambahan bukan mudah untuk mengumpulkan wang sebanyak itu bagi menjayakan sebuah majlis yang penuh bermakna.

"Selain adik kami, saya difahamkan ada pasangan pengantin lain yang dipercayai turut menjadi mangsa penipuan katering yang sama," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Laporan Sinar Harian
Laporan Sinar Harian

Dalam pada itu, Burhanuddin Rabbani berkata, ia merupakan kali pertama mereka membuat tempahan dengan syarikat katering memandangkan majlis perkahwinan enam daripada sembilan adik-beradiknya sebelum ini dilakukan secara bergotong-royong.

"Selepas ini sudah tentu kami akan lebih berhati-hati dalam memilih syarikat katering untuk majlis perkahwinan dua lagi adik kami," katanya yang akan meraikan majlis resepsi sebelah pengantin lelaki Sabtu ini di Perak.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan sebuah majlis perkahwinan yang sepatutnya berlangsung dengan penuh meriah dan bermakna pada Ahad di Bandar Seri Jempol dekat sini bertukar 'mimpi ngeri,' apabila pihak katering yang diupah tak muncul-muncul.

Artikel Berkaitan:

Berikutan itu, keluarga pengantin perempuan didakwa mengalami kerugian kira-kira RM13,000 akibat ditipu sebuah syarikat katering itu dan perkara itu turut dikongsikan ahli keluarga berkenaan di Facebook sebelum ia tular.

Selain itu, Ketua Polis Daerah Jempol,Superintenden Hoo Chang Hook memaklumkan polis akan mendapatkan maklumat lengkap pemilik katering yang didakwa menipu sebuah keluarga pengantin di sini daripada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) pada Selasa.