Keluarga penunggang motosikal maut mahu ambil tindakan undang-undang

Lubang yang dipercayai mengakibatkan kemalangan Allahyarham Mohamad Fitri di Jalan Mantin- Beranang pada 20 Disember lepas. Gambar kecil: Abdul Sani
Lubang yang dipercayai mengakibatkan kemalangan Allahyarham Mohamad Fitri di Jalan Mantin- Beranang pada 20 Disember lepas. Gambar kecil: Abdul Sani
A
A
A

NILAI - Keluarga kepada penunggang motosikal yang maut dalam kemalangan di Jalan Mantin-Beranang, Rabu lepas akan mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak berkaitan termasuk Jabatan Kerja Raya (JKR) sekiranya kejadian berlaku mempunyai kaitan dengan keadaan jalan rosak di situ.

Bapa mangsa, Abdul Sani Md Yatim, 61, berkata, mereka sekeluarga kini sedang menunggu laporan penuh polis berhubung kejadian berkenaan.

“Saya masih menunggu laporan kimia motosikal arwah dan ada beberapa lagi perkara yang perlu diselesaikan sebelum tindakan undang-undang diambil.

“Memanglah sebelum ini polis ada maklumkan anak saya dipercayai telah dilanggar lari, tapi sebagai bapa saya tetap merasakan kemalangan berlaku ada perkaitan dengan keadaan jalan rosak di situ,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Rabu.

Abdul Sani
Abdul Sani

Abdul Sani berkata, dia difahamkan sudah ada beberapa kes orang awam yang hampir kemalangan di situ disebabkan keadaan jalan yang berlubang dan bertakung air.

Ujarnya, masalah jalan rosak sepatutnya diambil tindakan segera oleh pihak bertanggungjawab kerana ia berisiko menyebakan kemalangan terutama kepada penunggang motosikal.

“Tindakan undang-udang itu kemungkinan kepada kerajaan atau JKR. Lagi pun saya pelik bila pagi itu anak saya meninggal dunia akibat kemalangan, petang itu cepat saja pihak JKR betulkan jalan itu.

Artikel Berkaitan:

“Memanglah sudah ketentuan ALLAH anak saya meninggal. Tapi kalau betullah anak saya kemalangan disebabkan jalan rosak, saya tak boleh berdiam saja,” katanya.

Laporan Sinar Harian pada 20 Disember lepas.
Laporan Sinar Harian pada 20 Disember lepas.

Tambahnya, ia juga sebagai pengajaran supaya pihak berwajib lebih bertanggungjawab dalam isu jalan rosak bukan sahaja di Negeri Sembilan tetapi seluruh negeri.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Nilai, Deputi Superitendan Mat Ghani Lateh berkata, tiada perkembangan lanjut berhubung kejadian itu setakat ini dan polis masih mengharapkan maklumat awam bagi membantu siasatan.

Sinar Harian pada 20 Disember lalu melaporkan harapan Abdul Sani supaya pihak berkuasa dapat membaik pulih kerosakan jalan di lokasi kemalangan anaknya, Mohamad Fitri Abdul Sani, 30.

Kejadian jam 9.30 pagi itu dipercayai berlaku ketika Allahyarham yang bekerja sebagai penghantar barang dalam perjalanan ke tempat kerja.

Polis memaklumkan motosikal jenis Yamaha 135LC ditunggang mangsa dipercayai telah dilanggar lari oleh kenderaan jenis dan nombor pendaftaran tidak pasti.