Hos mesin basuh jadi penyelamat ketika musim banjir

Muhammad Hanif Azhar menunjukkan hos mesin basuh pada motosikalnya supaya kenderaan itu dapat digerakkan ketika meredah banjir.
Muhammad Hanif Azhar menunjukkan hos mesin basuh pada motosikalnya supaya kenderaan itu dapat digerakkan ketika meredah banjir.
A
A
A

HULU TERENGGANU - Tiga pemuda dari Kampung Pengkalan Ajal di sini mengubah suai motosikal dengan memasang hos mesin basuh pada bahagian enjin karburetor supaya ia dapat digerakkan ketika meredah banjir.

Muhammad Hanif Azhar Abdullah, 22, berkata, idea untuk mengubahsuai motosikal jenis Honda EX5 itu dilakukan bersama dua lagi rakannya iaitu Mohd Rizuan Zailan, 22, dan Fakrol Hafizee Mazlan, 18.

Menurutnya, inisiatif itu diambil bagi memudahkan pergerakan untuk memindahkan barang-barang ke lokasi selamat ketika musim banjir.

"Kami terfikir untuk pasang hos pada enjin motosikal untuk membolehkan ia bergerak ketika meredah air banjir.

"Selain memindahkan barang-barang sendiri, kami juga dapat tolong orang lain angkat barangan penting ke tempat selamat.

Penduduk meredah banjir dengan menaiki motosikal ketika tinjauan di Kampung Pengkalan Ajal pada 14 Disember lalu.
Penduduk meredah banjir dengan menaiki motosikal ketika tinjauan di Kampung Pengkalan Ajal pada 14 Disember lalu.

"Lagipun kalau nak pindah dan bawa barang-barang ke PPS (pusat pemindahan sementara) dengan berjalan kaki redah air agak jauh bagi penduduk di kampung ini," katanya ketika ditemui pemberita di sini pada Selasa.

Menurut Muhammad Hanif Azhar, motosikal itu sempat diubah suai dalam tempoh dua hari sebelum banjir melanda kawasan kampung berkenaan.

Artikel Berkaitan:

"Biasanya, kalau air dah naik motosikal lain tak boleh lalu, motosikal ini boleh lalu sehingga air ke paras bahagian 'handle' motor.

"Bila dapat redah air proses nak pindah barang-barang lebih cepat sementara air belum naik tinggi," katanya.

Sehingga jam 8 pagi Rabu, seramai 10,145 mangsa banjir daripada 2,794 keluarga dipindahkan ke 114 PPS di semua daerah di Terengganu.

Antara daerah terjejas banjir ialah Dungun, Hulu Terengganu, Marang, Setiu, Kemaman, Besut, Kuala Nerus dan Kuala Terengganu.