Tujuh pam kurangkan risiko banjir di Gugusan Bukit Rangin

Halif Syareezal meninjau keadaan air saliran di taman perumahan Bukit Rangin pada Selasa.
Halif Syareezal meninjau keadaan air saliran di taman perumahan Bukit Rangin pada Selasa.
A
A
A

KUANTAN - Hampir 10,000 penduduk di perkampungan Bukit Rangin menarik nafas lega apabila tujuh pam disediakan oleh pihak Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia (JPS) bagi mengurangkan risiko banjir di kawasan penempatan itu.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Bukit Rangin, Halif Syareezal Rumli berkata, daripada tujuh pam, sebanyak tiga pam telah ditempat di kawasan perumahan Bukit Rangin Perdana Dua.

Halif Syareezal
Halif Syareezal

Menurutnya, tiga lagi pam di kawasan perumahan Bukit Rangin Damai dan satu pam di Bukit Rangin Perdana Satu.

"Tujuh pam itu, kalau berfungsi dengan baik Insha-ALLAH taman perumahan (tidak akan) dilanda banjir teruk seperti dua tahun lalu.

"Jika saliran baik dan taburan hujan tidak terlalu tinggi (banyak), pam ini mampu mengeluarkan air daripada dalam kawasan taman ke Sungai berhampiran," katanya ketika ditemui di Taman Perumahan Bukit Rangin di sini pada Selasa.

Dua tahun lalu, penduduk di perumahan Bukit Rangin mengakui kerugian puluhan ribu selepas kelengkapan rumah musnah 100 peratus akibat ditenggelami banjir sehingga paras bumbung.

Tragedi yang dialami ini membuat mereka trauma dan membuat persiapan awal bagi mengelak sebarang kemusnahan harta benda seperti sebelum ini.

Artikel Berkaitan:

Halif Syareezal berkata, sesi taklimat kepada penduduk telah diberi bagi memberi penerangan berkenaan persediaan banjir agar penduduk lebih bersedia.

Selain itu, ujarnya, penduduk juga dinasihatkan mengambil langkah berjaga-jaga kerana bimbang sebarang kemungkinan boleh berlaku.

"Kita bimbang limpahan air sungai daripada tebing berhampiran taman perumahan. Bila air sungai masuk, pam tidak boleh bekerja (tidak akan berfungsi) sebab air daripada luar sudah masuk.

"Jadi, mahu tidak mahu kita perlu bersiap sedia. Malah pasukan sukarelawan yang dianggotai oleh penduduk juga telah dibentuk bagi menghadapi bencana tersebut"katanya.

Penduduk, Mohd Shahril Nizam, 37, berkata, semua persiapan untuk mengemas peralatan elektrik dan barangan lain sudah dilakukan sejak Sabtu lalu.

Katanya, langkah berjaga-jaga itu diambil bagi mengelak perkakas rumah rosak akibat ditenggelami air.

"Kita sudah ada pengalaman (berdepan dengan banjir) sebelum ini, jadi elok buat persiapan awal bagi elak kerugian teruk di kemudian hari," ujarnya penjawat awam itu.