Amaran hujan berterusan, siap sedia risiko banjir - Nadma

 Jabatan Meteorologi Malaysia menjangkakan tiga negeri yang terlibat iaitu Terengganu, Pahang dan Johor.
Jabatan Meteorologi Malaysia menjangkakan tiga negeri yang terlibat iaitu Terengganu, Pahang dan Johor.
A
A
A

SHAH ALAM - Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) mengarahkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Peringkat Negeri dan Daerah bersiap sedia susulan amaran hujan berterusan waspada peringkat kuning sehingga Rabu.

Agensi itu dalam satu kenyataan memaklumkan, Jabatan Meteorologi Malaysia menjangkakan tiga negeri yang terlibat iaitu Terengganu, Pahang dan Johor.

“Di Terengganu, daerah yang terlibat ialah Dungun dan Kemaman, Pahang pula melibatkan Jerantut, Kuantan, Pekan serta Rompin manakala di Johor ialah Segamat, Mersing dan Kota Tinggi.

“Sehubungan dengan itu, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Peringkat Negeri dan Daerah hendaklah diaktifkan serta meningkatkan tahap kesiapsiagaan bagi menghadapi bencana yang bakal berlaku terutama di kawasan yang berisiko tinggi,” menurut kenyataan itu pada Selasa.

Nadma juga meminta agar setiap pusat pemindahan sementara (PPS) dilengkapi dengan keperluan asas dan Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) mempunyai segala aset pengoperasian yang mencukupi serta berada di dalam keadaan yang baik dan bersedia untuk digunakan.

“Nadma melalui Pusat Kawalan Bencana Negara (NDCC) akan sentiasa memantau situasi parameter maklumat teknikal dengan kerjasama pelbagai agensi teknikal.

“NDCC juga sentiasa dalam kesiapsiagaan menerima maklumat bencana, bantuan pengurusan dan pengoperasian bencana dari semasa ke semasa melalui nombor telefon 03-80642400, faksimili 03-80642429 dan alamat e-mel opsroom@nadma.gov.my,” katanya.

Artikel Berkaitan: