Krismas berbeza buat penduduk Palestin, sepi dan suram

Ritual keagamaan di hadapan Gereja Nativity di bandar Bethlehem di Tebing Barat yang diduduki pada Sabtu. - Foto AFP
Ritual keagamaan di hadapan Gereja Nativity di bandar Bethlehem di Tebing Barat yang diduduki pada Sabtu. - Foto AFP
A
A
A

DUNIA meraikan sambutan Krismas pada tarikh 25 Disember hari ini, tetapi tidak bagi penduduk Palestin di Bethlehem, Tebing Barat.

Meskipun lokasi berkenaan terkenal dengan tempat suci agama Kristian, gereja-gereja di sana memutuskan untuk mengekalkan ritual keagamaan dan membatalkan perayaan lain untuk musim Krismas.

Ia bagi menunjukkan rasa simpati kepada rakyat Palestin yang menderita akibat serangan dan tindakan pencerobohan serta pengepungan Israel.

Menteri Pelancongan Palestin, Rula Ma'ayah berkata, kebiasaannya sebelum ini terdapat pameran lampu dan pokok yang meriah di Dataran Manger, menghiasi malam penganut Kristian, dari luar Church of the Nativity.

Sebaliknya tahun ini, penganut Kristian Palestin dalam keadaan suram, memperdengarkan nyanyian sambil diterangi lilin dan berdoa untuk keamanan di Gaza, tidak seperti perayaan biasa.

Mereka memutuskan untuk tidak mendirikan pokok Krismas yang besar, di tengah bandar Bethlehem, kerana lokasi pembunuhan beramai-ramai oleh Zionis hanya 50 kilometer jauhnya dari situ.

Gereja Bethlehem tahun ini turut meletakkan patung-patung di tengah-tengah runtuhan dan kawat berduri sebagai tanda solidariti dengan penduduk Gaza.

Sementara itu, Datuk Bandar Bethlehem Hanna Hanania turut berkongsi, menyatakan bahawa Krismas kali ini benar-benar berbeza daripada yang sebelumnya kerana ia diselubungi suasana sedih.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, sebelum ini, Bethlehem setiap tahun menarik kira-kira 1.5 juta pelancong dari seluruh dunia.

Sebaliknya, pada Krismas kali ini, sektor pelancongan tidak dibuka sepenuhnya sejak permulaan konflik di Gaza pada 7 Oktober lalu.

Menurut Rula Ma'ayah, sektor pelancongan Palestin dijangka kerugian AS$200 juta menjelang akhir 2023, kesan serangan Israel ke atas Gaza.

Katanya, sektor pelancongan Palestin menghadapi keadaan yang teruk semasa musim Krismas tahun ini, terutamanya di Gaza dan Tebing Barat, sambil menambah, Bethlehem kelihatan sangat sepi pada musim sejuk ini.

Penganut Kristian membentuk kira-kira 2% daripada penduduk di seluruh Israel dan wilayah Palestin yang diduduki. - Awani/Agensi