Pesakit barah maut, terbakar ketika pembedahan

Pakar bedah didakwa menggunakan pisau bedah elektrik yang bertindak balas dengan bahan penyahjangkit berasaskan alkohol.
Pakar bedah didakwa menggunakan pisau bedah elektrik yang bertindak balas dengan bahan penyahjangkit berasaskan alkohol.
A
A
A

BUCHAREST - Seorang pesakit maut ketika prosedur pembedahan di Romania.

Pakar bedah di Hospital Floreasca di Bucharest dilaporkan menggunakan bahan penyahjangkit terhadap pesakit wanita berusia 66 tahun itu sebelum melakukan pembedahan untuk barah pankreas pada 22 Disember lalu.

Mereka kemudiannya menggunakan pisau bedah elektrik yang bertindak balas dengan alkohol terbabit yang mencetuskan api pada tubuh pesakit itu.

Kira-kira 40 peratus tubuhnya melecur teruk akibat kejadian itu dan mangsa meninggal dunia kira-kira seminggu kemudian.

Susulan insiden itu, polis telah membuka siasatan ke atas punca kematian pesakit itu.

Keluarga pesakit terbabit dalam satu kenyataan memberitahu, mereka tidak dimaklumkan tentang butiran sebenar insiden berkenaan dan hanya memberi alasan ia sebagai satu kemalangan.

Sebagai respons, Menteri Kesihatan, Victor Costache berjanji untuk menyiasat kejadian tersebut.

"Kami berharap mendapat jawapan. Saya dan Kementerian Kesihatan akan melakukan segala yang mungkin untuk mengetahui kebenaran," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Timbalan Menteri, Horatiu Moldovan berkata, pakar bedah seharusnya tahu tentang kesan penggunaan bahan penyahjangkit berasaskan alkohol ketika prosedur pembedahan yang dilakukan dengan pisau elektrik. - Agensi