13 pelajar, warden cemas asrama terbakar ketika nyenyak tidur

Anggota bomba memadamkan kebakaran bangunan asrama sekolah itu di Kampung Assam Jawa, di sini pada Ahad.
Anggota bomba memadamkan kebakaran bangunan asrama sekolah itu di Kampung Assam Jawa, di sini pada Ahad.
A
A
A

KUALA SELANGOR - Seramai 13 pelajar perempuan dan seorang warden Sekolah Menengah Islam (SMI) Addimyati, Kampung Assam Jawa di sini, cemas dalam kebakaran di bangunan asrama sekolah itu pada Ahad.

Difahamkan kebakaran berlaku ketika semua pelajar berusia 13 hingga 17 tahun dan warden asrama berusia 21 tahun yang berada dalam bilik kecil bangunan asrama itu sedang nyenyak tidur.

Penolong Pengarah Operasi Bomba Selangor, Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 4.30 pagi.

"Seramai 12 anggota termasuk pegawai dan jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Selangor bergegas ke tempat kejadian," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Mohamadul Ehsan berkata, pemeriksaan di lokasi kejadian mendapati api sedang marak memusnahkan bangunan teres satu tingkat kelas A yang dijadikan asrama sekolah.

Beliau memberitahu, kebakaran itu melibatkan kemusnahan 80 peratus dan berjaya dikawal jam 5.03 pagi Ahad.

"Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan semua mangsa terselamat, namun punca kebakaran dan nilai kerugian masih dalam siasatan," ujar beliau.

Sinar Harian difahamkan, deretan bangunan asrama terbakar itu turut menempatkan surau, perpustakaan dan bilik kuliah kecil.