Selisih faham punca lelaki dibunuh, tanam mayat di belukar

Laporan Sinar Harian.
Laporan Sinar Harian.
A
A
A

RAWANG - [DIKEMAS KINI] Akibat perselisihan faham, seorang lelaki maut dipercayai dipukul oleh ahli keluarga teman wanitanya sebelum mayatnya ditanam di kawasan belukar dalam kejadian di sebuah rumah di Sungai Choh, di sini pada Sabtu.

Mangsa merupakan lelaki tempatan itu dipercayai dipukul dengan menggunakan kayu, botol dan tong besi.

Pemangku Ketua Polis Daerah Gombak, Superintenden Ariffin Mohamad Nasir berkata, dalam kejadian kira-kira jam 11 pagi itu, mangsa dilaporkan telah datang ke rumah berkenaan bersama empat individu termasuk teman wanitanya untuk berbincang tentang masalah hubungan mereka.

Bagaimanapun menurutnya, keadaan itu telah menyebabkan berlaku pertengkaran dan pergaduhan di rumah berkenaan.

"Pada jam 11.25 malam, pihak polis telah menerima panggilan daripada seorang wanita berusia 27 tahun selepas dia mendakwa terdengar perbualan antara suaminya dan abang iparnya untuk menanam satu mayat.

"Sepasukan polis kemudian telah tiba di lokasi sebelum menjumpai satu mayat lelaki disyaki warga tempatan tanpa pengenalan diri yang ditanam dalam satu lubang di kawasan belukar," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Polis menjalakan siasatan di lokasi kes bunuh dan tanam mayat seorang lelaki di Sungai Choh, Rawang pada Sabtu.
Polis menjalakan siasatan di lokasi kes bunuh dan tanam mayat seorang lelaki di Sungai Choh, Rawang pada Sabtu.

Beliau berkata, mayat yang berjaya digali keluar kira-kira jam 5 pagi (Ahad) itu telah dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk bedah siasat.

Artikel Berkaitan:

Susulan itu, beliau berkata, tiga beradik iaitu dua lelaki dan seorang wanita berusia 29 hingga 33 tahun telah ditahan disyaki terlibat dalam kes terbabit.

"Motif kejadian berpunca daripada perselisihan faham antara mangsa dan salah seorang suspek.

"Siasatan masih diteruskan dan usaha bagi mengesan empat individu iaitu teman wanita dan abang teman wanita mangsa selain isteri serta adik ipar kepada teman wanita mangsa sedang giat dijalankan," ujarnya.

Tegasnya, ketiga-tiga beradik berkenaan kini ditahan reman tujuh hari bermula Ahad untuk disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Tambah Noor Ariffin, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian boleh berhubung dengan pegawai penyiasat kes, Asisten Superintenden Puteri Noor Asiah Mohd Sharif di talian 012-6718024 atau Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak 03-61262242.