X

Kindly register in order to view this article
!

Ahli Dewan Negara sahkan kenyataan arak bebas cukai di Pangkor

Jawapan soalan lisan yang diterima Mohamad Imran ketika persidangan Dewan Negara baru-baru ini mengenai minuman keras sebagai barangan bebas cukai di Pulau Pangkor. Gambar kecil: Mohamad Imran Abd Hamid
A
A

IPOH - Ahli Dewan Negara, Senator Laksamana Pertama (B) Mohamad Imran Abd Hamid mengesahkan kenyataan Kementerian Kewangan bahawa minuman keras dan rokok sebagai barangan bebas cukai di Pulau Pangkor.

Menurutnya, kenyataan jawapan lisan Dewan Negara yang diberikan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng itu jelas jelas menunjukkan bahawa dua barangan tersebut akan dijual sebagai barangan bebas cukai yang sebelum ini dikecualikan.

Beliau berkata, dalam soalan lisan kepada Menteri Kewangan, Lim Guan Eng itu, pihaknya meminta Kementerian Kewangan menyatakan bahawa minuman beralkohol tidak termasuk dalam barangan bebas cukai.

"Memang itulah jawapan yang saya terima daripada Menteri Kewangan dalam soalan lisan itu. Saya nyatakan dalam soalan itu bahawa tidak wajar minuman beralkohol disenaraikan sebagai barangan bebas cukai.

"Secara peribadi memang saya tak setuju minuman beralkohol bebas cukai kerana tindakan itu dibimbangi akan menimbulkan impak negatif dan masalah sosial kepada penduduk Pulau Pangkor," katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Ketua Pembangkang Perak, Datuk Saarani Mohamad yang meminta penjelasan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu status sebenar minuman keras sama ada dikecualikan sebagai barangan bebas cukai atau sebaliknya.

Sementara itu, dalam jawapan soalan lisan yang diberikan itu, Kementerian Kewangan telah membuat penetapan polisi pelaksanaan Pulau Pangkor sebagai pulau bebas cukai (PBC) yang mana secara umum semua barangan yang dibawa masuk ke PBC itu adalah bebas cukai termasuk rokok dan minuman keras.

Berdasarkan jawapan itu, keputusan menyenaraikan produk rokok dan minuman keras sebagai barangan bebas cukai di PBC Pangkor bertujuan memberi layanan yang seragam sepertimana dilaksanakan di PBC Langkawi, Labuan dan Tioman.

Dalam pada itu, bagi memastikan tiada peningkatan aktiviti penyeludupan disebabkan rokok dan minuman keras merupakan barangan bebas cukai, aspek kawalan dan penguatkuasaan Jabatan Kastam akan terus diperketatkan.

Jelasnya, langkah itu bagi memastikan perdagangan rokok dan minuman keras di PBC Pangkor dan semua PBC lain tidak menyebabkan ketirisan hasil cukai kerajaan.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus