Negeri Sembilan berjaya capai sifar miskin tegar - Aminuddin

Aminuddin (lima dari kiri) ketika hadir pada majlis berkenaan turut menyaksikan penyerahan masjid secara simbolik pada Jumaat.
Aminuddin (lima dari kiri) ketika hadir pada majlis berkenaan turut menyaksikan penyerahan masjid secara simbolik pada Jumaat.
A
A
A

SEREMBAN - Negeri Sembilan berjaya mencapai sasaran sifar miskin tegar sebelum berakhirnya tahun ini membabitkan seramai 3,530 ketua isi rumah (KIR).

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, kejayaan itu hasil pelbagai inisiatif digerakkan melalui Pejabat Pembangunan Negeri, Negeri Sembilan (PPNNS) dalam usaha menoktah kemiskinan tegar di negeri ini.

Menurutnya, usaha itu antaranya menjadikan kemiskinan sebagai agenda utama wajib dalam mesyuarat Majlis Tindakan Pembangunan Negeri (MTPNg) dan Penubuhan Task Force Pembasmian Miskin Tegar.

"Kita turut mengaktifkan fungsi Jawatankuasa Focus Group Daerah (FGD) dan melancarkan kaunter bergerak eKasih bersama Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS).

"Pejabat Pembangunan Negeri, Negeri Sembilan telah menyemak, merekod dan mengesahkan pelaporan-pelaporan semua maklumat bantuan yang disalurkan melalui Jawatankuasa-Jawatankuasa Focus Group Pembasmian Kemiskinan dari setiap daerah ke dalam Sistem eKasih," katanya.

Aminuddin (empat dari kiri) ketika hadir merasmikan masjid berkenaan pada Jumaat
Aminuddin (empat dari kiri) ketika hadir merasmikan masjid berkenaan pada Jumaat

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas selesai Majlis Penyerahan Masjid Saidatina Aisyah, Bandar Seremban Selatan dan penyerahan sumbangan Kerajaan Negeri Sembilan Peduli Palestin kepada Global Peace Missin di sini pada Jumaat.

Aminuddin berkata, Seremban merupakan daerah yang terbaru berjaya mensifarkan miskin tegar, daripada bilangan miskin tegar melalui Sistem eKasih seramai 922 KIR direkodkan pada awal tahun 2023.

Artikel Berkaitan:

"Kejayaan menoktahkan kemiskinan mendapat sokongan padu dan kerjasama erat daripada agensi kerajaan negeri khususnya pejabat-pejabat daerah. Usaha ini bukanlah suatu yang mudah.

"Ia memerlukan gandingan dan kerjasama semua pihak yang terbabit. Pada peringkat awal, pejabat ini menyediakan profil setiap keluarga miskin tegar, secara individu di seluruh Negeri Sembilan menggunakan tarikh ‘cut off’ 13 Februari 2023 melibatkan seramai 3,530 KIR.

"Profil ini diedarkan kepada setiap Jawatankuasa FGD untuk gerak kerja pengesanan KIR dan mengenal pasti keperluan bantuan yang boleh membawa mereka keluar daripada kemiskinan tegar. Turut menerima profil ini adalah setiap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Negeri Sembilan," katanya.

Ujarnya, pelbagai cabaran turut dilalui semasa pengesanan KIR terbabit antaranya, ada yang enggan bekerjasama, memberikan maklumat tidak tepat, nombor telefon tidak dapat dihubungi dan sebagainya.

"Kerjasama secara bersepadu antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri perlu sentiasa diperkemas dan dipertingkatkan dari semasa ke semasa demi memastikan kesejahteraan rakyat dapat ditingkatkan kepada suatu kualiti hidup yang lebih baik di masa hadapan," katanya.