LKIM bina 300 rumah untuk nelayan Tanjung Dawai

Pengerusinya, Muhammad Faiz Fadzil (tengah) bergambar bersama penerima pada
Majlis Penyerahan Kunci Penempatan Semula Nelayan (PSN) Tanjung Dawai di Dewan Besar PSN Tanjung Dawai, di sini, pada Khamis.
Pengerusinya, Muhammad Faiz Fadzil (tengah) bergambar bersama penerima pada Majlis Penyerahan Kunci Penempatan Semula Nelayan (PSN) Tanjung Dawai di Dewan Besar PSN Tanjung Dawai, di sini, pada Khamis.
A
A
A

SUNGAI PETANI - Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) memperuntukkan sebanyak RM48 juta untuk pembinaan rumah nelayan menerusi Projek Penempatan Semula Nelayan (PSN) Tanjung Dawai.

Pengerusinya, Muhammad Faiz Fadzil berkata, PSN Tanjung Dawai ini merangkumi 300 unit rumah berkembar lengkap dengan pelbagai kemudahan seperti dewan serbaguna, tadika, surau, taman permainan dan padang futsal.

Beliau memaklumkan, setiap unit rumah di bawah projek ini adalah berharga RM54,000 dan dijual dengan konsep sewa beli kepada pemohon yang layak.

"Sehingga kini, LKIM telah menyerahkan 276 unit rumah di PSN ini, manakala 24 unit masih kosong dalam proses mengenalpasti nelayan layak untuk mendapatkan rumah itu.

"Harapan saya untuk penempatan berkelompok sebegini dapat diteruskan di negeri-negeri lain dan kita dalam proses (menyiapkan), ada tempat yang telah siap di Melaka (dan) Sarawak menunggu untuk penyerahan," katanya.

Beliau berkata sedemikian selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Kunci Penempatan Semula Nelayan (PSN) Tanjung Dawai di Dewan Besar PSN Tanjung Dawai, di sini, pada Khamis.

Hadir sama, Pengarah LKIM Kedah, Mohd Fauzi Ghazali.

Beliau memaklumkan, usaha kerajaan berkenaan adalah inisiatif untuk meningkatkan taraf sosial dan ekonomi nelayan.

Artikel Berkaitan:

"Nelayan ini mereka tidak ada rumah tetap, jadi di sini kita amal konsep sewa beli (dengan kadar) RM150 sebulan selama 30 tahun (melibatkan) harga keseluruhan dalam RM54,000.

"Rumah yang sangat murah untuk nelayan menikmati (manfaat), selain itu kita juga menjalankan program bina baharu itu dengan syarat mereka ada rumah tanah sendiri," katanya.

Tambah Muhammad Faiz, projek berkenaan juga adalah usaha kerajaan memberi kehidupan yang sama taraf dengan golongan lain memandangkan mereka berkorban nyawa dan keringat untuk memastikan rakyat Malaysia mendapat bekalan ikan mencukupi.

"Kita akan bahagi-bahagi mengikut kelayakan peserta-peserta dan bagikan secara adil di seluruh negara (dengan) setiap negeri akan mendapat peruntukan," katanya.

Sebelum itu, beliau turut menyerahkan replika kunci kediaman kepada 11 penerima rumah di bawah Projek Khas Perumahan Nelayan (PKPN).

Seramai empat penerima dibawah projek bina baharu, manakala tujuh penerima dibawah projek PSN yang terdiri daripada ahli Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Tanjung Dawai dan nelayan aktif.

Bagi projek bina baharu itu, rumah baharu akan di bina di atas tanah milik nelayan dengan kos maksimum RM68,000 sebuah di Semenanjung Malaysia.

Untuk rekod, sebanyak lapan rumah nelayan di bawah PKPN Bina Baharu ini telah diluluskan di Tanjung Dawai melibatkan peruntukkan sebanyak RM272,000 pada 2022.