Sultan Nazrin hadiri jamuan raya PDRM Perak

Sultan Nazrin dan Tuanku Zara berkenan menyampaikan duit raya kepada kanak-kanak yang hadir pada Sambutan Hari Raya Aidilfitri PDRM Perak pada Sabtu.
Sultan Nazrin dan Tuanku Zara berkenan menyampaikan duit raya kepada kanak-kanak yang hadir pada Sambutan Hari Raya Aidilfitri PDRM Perak pada Sabtu.
A
A
A

IPOH - Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan berangkat ke Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Perak di Markas Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) Unit 5, Sungai Senam di sini pada Sabtu.

Keberangkatan tiba baginda kira-kira jam 8.30 malam itu diiringi Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim.

Turut berangkat, Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa dan Raja Puan Besar Perak, Raja Nazhatul Shima Sultan Idris Shah; Raja Di Hilir Perak, Raja Iskandar Dzurkarnain Sultan Idris Shah dan Raja Puan Muda Perak, Tunku Soraya Abdul Halim Mu'adzam Shah.

Hadir sama, Exco Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan Perak, Datuk Mohd Zolkafly Harun yang mewakili Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad dan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid.

Pada majlis itu, Sultan Nazrin turut berkenan menyaksikan persembahan Siti Nordiana yang mendendangkan lagu Keindahan Aidilfitri dan Terus Mencintai.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri turut menyampaikan lagu Salam Dunia nyanyian Datuk M Nasir dan Seloka Hari Raya berduet bersama Siti Nordiana.

Sultan Nazrin dan Tuanku Zara berkenan bergambar bersama warga IPK Perak.
Sultan Nazrin dan Tuanku Zara berkenan bergambar bersama warga IPK Perak.

Terdahulu, Mohd Yusri dalam sembah ucapannya memohon tetamu untuk membacakan Al-Fatihah bagi memperingati 10 wira dan wirawati yang terkorban nahas helikopter di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut, Selasa lalu.

Artikel Berkaitan:

"Semoga roh wira-wira negara yang terkorban dalam nahas itu akan ditempatkan dalam kalangan para syuhada.

"Salam takziah kepada keluarga mangsa dan marilah sama-sama kita sedekahkan bacaan surah al-Fatihah kepada wira-wira negara yang terkorban ini. Al-Fatihah," katanya.

Sultan Nazrin dan Tuanku Zara turut berkenan menyampaikan sumbangan duit raya kepada anak-anak yatim warga PDRM Perak serta meninjau 16 reruai makanan milik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) seluruh negeri.

Baginda berdua kemudiannya menyaksikan pertunjukan bunga api sebelum berangkat meninggalkan majlis tersebut selepas meluangkan masa kira-kira dua jam.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!