Batik tanah liat tarikan utama Festival Kraf Perak 2023

Berpotensi majukan industri fesyen tempatan

A
A
A

Mohamad Rizan (kanan) menunjukkan batik tanah liat yang diusahakan oleh Nur Nabihah Zakaria sempena Festival Kraf Perak 2023 di Dataran Menara Condong, Teluk Intan, Perak.  
Mohamad Rizan (kanan) menunjukkan batik tanah liat yang diusahakan oleh Nur Nabihah Zakaria sempena Festival Kraf Perak 2023 di Dataran Menara Condong, Teluk Intan, Perak.  



TELUK INTAN - Batik tanah liat merupakan antara produk tekstil baharu diperkenalkan oleh Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia (Kraftangan Malaysia) sempena Festival Kraf Perak (FKP) 2023 yang berlangsung di Dataran Menara Condong, di sini.

Pengarah Kraftangan Malaysia Cawangan Perak, Mohamad Rizan Mohamad Nordin berkata, produk tekstil tersebut merupakan hasil inovasi yang telah dibangunkan pihaknya sejak tiga tahun lalu dan diyakini mempunyai potensi besar untuk dikembangkan dalam industri fesyen tempatan serta antarabangsa.

“Negeri Perak ini memang terkenal dengan deposit bahan (tanah liat) yang banyak terutama lempung bebola (ball clay) dan tanah kaolin. Penggunaan sebatian (tanah liat) ini menjadikan kos bahan penghasilan batik lebih rendah, menjimatkan masa, mesra alam, tidak berbahaya serta mudah untuk dikendalikan,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di sini pada Khamis.

Tambah Mohamad Rizan, produk batik tanah liat juga mampu memberi limpahan ekonomi kepada para usahawan kraf batik tempatan termasuk komuniti kraf yang dibangunkan di bawah Program Pembangunan Kemahiran Komuniti (PPKK) Kraftangan Malaysia.

Malah katanya, inovasi batik tanah liat itu telah pun didaftarkan di bawah harta intelek (IP) bagi melindungi hak eksklusif penggunaannya supaya ia dapat dimanfaatkan para penggiat kraf tempatan atas dasar untuk menjana pembangunan sosioekonomi rakyat.

"Kraftangan Malaysia berusaha membangunkan usahawan batik di Perak di bawah PPKK meliputi kawasan Bagan Serai, Selama, Muallim, Tapah, Lenggong dan Kuala Kangsar. Batik tanah liat telah pun diserlahkan apabila jemaah menteri (di peringkat Persekutuan) menggayakan kemeja batik ini dalam motif bunga raya dan belang Harimau Malaya sempena sambutan Hari Kebangsaan pada Khamis,” jelasnya.

No Image Caption



Mengulas mengenai FKP 2023, Mohamad Rizan menyatakan pihaknya berjaya menghimpunkan penyertaan seramai 51 usahawan kraftangan khususnya dari negeri Perak selain menyasarkan jualan sebanyak RM1 juta sepanjang festival itu yang telah bermula pada 25 Ogos lalu sehingga 3 September ini.

Artikel Berkaitan:


Malah, jangkaan kehadiran pengunjung sepanjang FKP 2023 yang bertemakan ‘Membudayakan Seni kraf Malaysia’ itu menurutnya adalah seramai 75,000 orang.

“Penganjuran FKP 2023 ini menjadi platform kepada para usahawan kraftangan mempromosi serta memasarkan produk keluaran mereka secara terus kepada para pengguna meliputi kraf tekstil, kraf hasil rimba, kraf hasil tanah, kraf logam dan kraf aneka,” katanya lagi.

FKP 2023 merupakan inisiatif khas bagi menonjolkan keunikan, memperkasakan budaya dan warisan negeri Perak serta merupakan sebahagian daripada Program flagship Ekonomi Pengalaman di bawah Pelan Perak Sejahtera 2030.

Bagi memperkukuhkan seni warisan kraftangan negeri, Tourism Perak turut menyediakan bantuan Pakej Rangsangan Ekonomi Perak Sejahtera berjumlah RM182,000 kepada 90 usahawan kraftangan.