1 juta kenderaan dijangka guna KLK, LPT1 sempena Krismas

Anih Berhad menjangkakan hampir satu juta kenderaan menggunakan kedua-dua lebuh raya terbabit bagi tempoh 23 sehingga 26 Disember ini sempena Krismas. - Gambar hiasan
Anih Berhad menjangkakan hampir satu juta kenderaan menggunakan kedua-dua lebuh raya terbabit bagi tempoh 23 sehingga 26 Disember ini sempena Krismas. - Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pengendali Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) dan Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1, (LPT1), Anih Berhad menjangkakan hampir satu juta kenderaan menggunakan kedua-dua lebuh raya terbabit bagi tempoh 23 sehingga 26 Disember ini sempena Krismas.

Ketua Pegawai Eksekutif Anih Berhad, Imran Gulcharan Abdullah berkata, pihaknya meningkatkan tahap kesediaan untuk menghadapi jangkaan peningkatan kenderaan di lebuhraya kendaliannya bersempena musim cuti perayaan tersebut.

Menurutnya, dijangkakan jumlah purata trafik harian di KLK adalah sebanyak 172,200 kenderaan iaitu peningkatan lebih 70 peratus dari aliran trafik harian biasa.

"Di LPT1 pula, jumlah purata trafik harian dijangkakan sebanyak 68,200 kenderaan iaitu peningkatan lebih daripada 50 peratus daripada aliran trafik harian biasa.

"Pengguna disarankan merujuk kepada Jadual Cadangan Waktu Perjalanan (TTA) yang telah dikeluarkan demi keselesaan dan kelancaran perjalanan," kata beliau dalam kenyataan pada Rabu.

Ujarnya, pematuhan terhadap TTA ini dapat membantu mengurangkan kesesakan di lebuhraya KLK dan LPT1.

TTA yang dikeluarkan oleh Anih Berhad buat pengguna sempena Krismas .
TTA yang dikeluarkan oleh Anih Berhad buat pengguna sempena Krismas .

Tambah beliau, bagi memastikan keselesaan, pihaknya telah menambah tenaga kerja sokongan di plaza tol dan menempatkan anggota RELA di kawasan strategik sepanjang lebuh raya.

Artikel Berkaitan:

"Langkah ini bertujuan untuk memastikan kelancaran trafik sepanjang tempoh tersebut.

"Selain itu, Anih Berhad juga mengingatkan para pengguna lebuh raya agar memberi keutamaan kepada keselamatan diri sendiri serta pengguna lain dengan mengamalkan pemanduan berhemah," ujar beliau.

Dalam pada itu, beliau meminta agar orang ramai menggunakan kawasan Rehat dan Rawat (R&R) atau hentian sebelah bila perlu selain mematuhi tanda-tanda jalan, had laju dan arahan daripada petugas lebuh raya bagi memastikan keselamatan dan keselesaan.

Bagi mendapatkan informasi tepat dan terkini, sila ikuti saluran rasmi media sosial Anih Berhad di Facebook @Lebuhraya Pantai Timur dan X @LPTTrafik serta Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) @llmtrafik.

Sekiranya berlaku kecemasan, hubungi LPT-Line di 1-700-818-700 atau talian LLM di 1800-88-7752.