Skim PERKESO pekerja perfileman akan dilaksana segera

Fahmi (empat, kiri) bergambar bersama penggiat industri filem dan bakat kreatif yang menerima penghargaan semasa Program Spotlight: Apresiasi Sinema Malaysia 2023 anjuran Finas di Kementerian Komunikasi pada Rabu. - Foto Bernama
Fahmi (empat, kiri) bergambar bersama penggiat industri filem dan bakat kreatif yang menerima penghargaan semasa Program Spotlight: Apresiasi Sinema Malaysia 2023 anjuran Finas di Kementerian Komunikasi pada Rabu. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Skim Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) untuk pekerja dalam sektor perfileman termasuk 'freelancer' akan diwujudkan untuk memastikan mereka mendapat perlindungan keselamatan sosial termasuk pencen ilat, kata Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil.

Beliau berkata, langkah itu akan membolehkan penggiat industri perfileman yang kebanyakannya berdepan kesukaran keselamatan sosial termasuk isu pencen mempunyai perlindungan mencukupi.

Justeru, Fahmi berkata, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) diminta mengadakan perbincangan mendalam dengan PERKESO bagi membolehkan skim berkenaan dilaksanakan dengan kadar segera.

"Bagi pelakon dan kru, tangan mereka, kaki mereka dan tubuh badan adalah ‘peralatan’ mereka untuk bekerja. Kalau ada berlaku apa-apa maka kesannya adalah seumur hidup," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Program Spotlight: Apresiasi Sinema Malaysia Tahun 2023 di sini pada Rabu bagi meraikan syarikat produksi dan penggiat industri yang telah melakar kecemerlangan buat industri filem negara di peringkat tempatan serta antarabangsa.

Fahmi menyampaikan ucapan pada Program Spotlight: Apresiasi Sinema Malaysia 2023 anjuran Finas di Kementerian Komunikasi pada Rabu.
Fahmi menyampaikan ucapan pada Program Spotlight: Apresiasi Sinema Malaysia 2023 anjuran Finas di Kementerian Komunikasi pada Rabu.

Fahmi dalam pada itu juga meminta Finas mengutamakan empat aspek iaitu penulisan skrip, proses pitching, pemasaran dan pengedaran untuk memastikan filem tempatan berkualiti serta memajukan sektor perfileman negara.

Menurutnya, Finas telah menggariskan beberapa fokus bagi mengubah semula industri filem antaranya meningkatkan daya saing ekonomi melalui skop pelaburan, pembiayaan dan kebolehpasaran melalui model ekosistem baharu, serta memperkasakan profesionalisme modal insan melalui skop pekerjaan, pendapatan dan kebajikan.

Artikel Berkaitan:

Fahmi berkata, ketika ini, pindaan Akta Finas 244 dan Dasar Perfileman Negara (DFN) sedang dikemaskini serta diperkasakan dengan misi menjadikan industri perfileman negara yang berdaya saing dan bertaraf global.

Fahmi berkata, rombakan Kabinet pada 12 Disember lepas menunjukkan keyakinan kerajaan terhadap potensi industri filem sebagai salah satu sektor penyumbang kepada ekonomi kreatif dan budaya negara yang menyumbang kira-kira 1.9 peratus atau RM28.7 bilion daripada jumlah Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan merangkumi tenaga kerja seramai lebih setengah juta orang.

Beliau berkata, penghasilan filem tempatan dengan kandungan bercirikan kepelbagaian budaya, etnik serta pelancongan filem juga berpotensi menjana pelaburan dalam negara.

Fahmi meraikan penggiat industri filem dan bakat kreatif yang mencatatkan kejayaan di peringkat antarabangsa. - Foto Bernama
Fahmi meraikan penggiat industri filem dan bakat kreatif yang mencatatkan kejayaan di peringkat antarabangsa. - Foto Bernama

"Impak mempromosikan Malaysia melalui medium filem dengan mengambil kira penganjuran Tahun Melawat Malaysia pada tahun 2026 bakal menarik 26.1 juta pelancong asing dan anggaran perbelanjaan domestik sebanyak RM97.6 bilion," katanya.

Dalam aspek perdagangan luar, Fahmi berkata, misi kerjasama produksi antarabangsa (Co-Pro Treaty) antara Malaysia dan China perlu dimeterai sempena sambutan ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik Malaysia-China pada 2024 dan ia merupakan platform strategik bagi menembusi pasaran filem China yang bernilai RM27 bilion.

Fahmi dalam pada itu berkata, kutipan ‘box-office filem’ tempatan tahun ini adalah sebanyak RM98.8 juta untuk tayangan 56 buah filem.

Kutipan itu antara disumbangkan oleh filem Coast Guard arahan Allahyarham Pitt Haniff, Imaginur arahan Nik Amir Mustapha, filem animasi Didi and Friends arahan Akmal Aziz Asmawi dan Roshfaizal Ariffin, Polis Evo 3 arahan Syafiq Yusof, Rahsia arahan Shamyl Othman dan Malbat: Misi Bakara arahan Adrian Teh. - Bernama