[VIDEO] Api misteri kembali hantui 'gadis api'

Sejadah yang beralih kedudukan dari atas katil ke dalam almari besi tiba-tiba terbakar. Wan Nor Fatihah yang tertekan dan menangis berdepan misteri menyelubungi keluarganya.
Sejadah yang beralih kedudukan dari atas katil ke dalam almari besi tiba-tiba terbakar. Wan Nor Fatihah yang tertekan dan menangis berdepan misteri menyelubungi keluarganya.
A
A
A

KOTA BHARU - Api misteri muncul secara tiba-tiba membakar sejadah ketika sekumpulan wartawan berada di rumah 'gadis api misteri' di Kampung Penambang, Jalan Pantai Cahaya Bulan di sini hari ini.

Kejadian yang berlaku pada jam 12.10 tengah hari itu disaksikan sendiri beberapa penduduk dan wartawan yang berada di rumah keluarga tersebut bertujuan membuat liputan.

Api itu tiba-tiba muncul dan membakar sejadah yang tergantung di dalam sebuah almari besi dalam bilik utama di rumah berkenaan ketika wartawan sedang mengambil gambar kesan terbakar di bilik kedua.

Sejadah tersebut sebelum itu berada di atas katil besi di bilik sama sebelum disedari beralih secara misteri.

Televisyen, kotak fius elektrik, motosikal dan pintu bilik air yang terbakar tiba-tiba malam tadi. Wan Nor Fatihah menunjukkan pintu bilik air dalam bilik utama yang terbakar di rumah keluarga itu secara tiba-tiba.
Televisyen, kotak fius elektrik, motosikal dan pintu bilik air yang terbakar tiba-tiba malam tadi. Wan Nor Fatihah menunjukkan pintu bilik air dalam bilik utama yang terbakar di rumah keluarga itu secara tiba-tiba.

Gangguan api misteri tersebut berterusan selang beberapa minit kemudian dengan secara tiba-tiba membakar kain di atas sebuah tong gas di dapur rumah.

Kemudiannya, sekali lagi api tersebut menyala dan membakar sejadah di dalam bilik kedua sebelum satu lagi kain terbakar di dalam bilik ketiga yang berkunci.

Artikel Berkaitan:

Gadis yang dikaitkan dengan gangguan misteri itu, Wan Nor Fatihah Wan Hanafi, 21, berkata, kejadian api misteri itu kembali menghantui mereka sekeluarga sejak dua hari lalu selepas dua tahun tidak diganggu.

“Kejadian api kembali ini bermula pada malam Ahad lalu apabila motosikal yang berada di bawah rumah secara tiba-tiba terbakar selepas Isyak pada jam 8.45 malam.

“Api beberapa kali membakar motosikal itu lagi kemudian api muncul membakar kain di atas rumah pula, seterusnya kerusi, televisyen, pintu bilik air, mesin basuh dan kotak fius elektrik menyebabkan kami bergelap di dalam rumah malam tadi,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini hari ini.

Wan Nor Fatihah tinggal di rumah itu bersama neneknya, Zainab Sulaiman, 82; ibunya, Ropeah Zakaria, 52; abangnya, Wan Mohd Faiz Wan Hanafi, 23, dan adiknya Wan Nor Fatini, 19, sejak 2018 selepas rumah lama mereka yang terletak berhampiran terbakar pada September 2016.

Ropeah menunjukkan selimut yang terbakar secara misteri sebelum ini.
Ropeah menunjukkan selimut yang terbakar secara misteri sebelum ini.

Kejadian kebakaran didakwa berpunca daripada api misteri itu mendapat liputan meluas daripada media arus perdana dan antarabangsa.

Wan Nor Fatihah berkata, dia buntu memikirkan punca berlakunya api misteri tersebut dan sudah melakukan pelbagai ikhtiar termasuk rawatan tradisional sejak mengalami gangguan itu pada tahun 2012 iaitu selepas kematian bapanya pada tahun 2010.

“Sebelum kejadian rumah saya terbakar, rumah ibu saudara yang terletak di belakang rumah baru ini juga terbakar dan saya sekeluarga tinggal di Rumah Kebajikan di Pengkalan Chepa pada tahun 2017.

“Semasa berada di rumah kebajikan itu juga ada kejadian kebakaran tilam dan kain menyebabkan saya berpindah pula ke rumah baru ini.

"Saya memang terlalu penat dengan keadaan ini dan mengharap bantuan supaya api ini terus berhenti daripada mengganggu keluarga saya,” katanya.

Luahnya lagi, dia berterima kasih terhadap banyak pihak yang membantu seperti anggota bomba yang berada di rumah itu selama dua malam bagi mengawal kebakaran daripada merebak lebih teruk.

Wan Nor Fatihah Wan Hanafi
Wan Nor Fatihah Wan Hanafi

“Saya terima kedatangan orang ramai ke rumah ini yang ingin melihat sendiri keadaan api ini dan saya juga menyambut baik pengamal perubatan yang datang.

"Tapi saya nak ingatkan supaya jagalah adab serta mulut daripada berkata-kata kerana saya sendiri sudah juga tertekan dengan keadaan ini.

Menurutnya, orang ramai diminta faham situasinya dan tidak bercakap yang bukan-bukan terhadap keluarganya yang setiap hari diganggu.

“Saya alami muntah keluar jarum, saya hadap rumah yang terbakar, keluarga saya susah dan turut sama tidak dapat hidup tenteram kerana keadaan ini.

"Siapa yang nak hidup setiap hari diganggu api dan lemas dalam asap kesan terbakar,” rintihnya.

Kejadian yang menimpa gadis itu turut tular di media sosial dan satu papan putih dikatakan tulisan jin yang menjawab beberapa soalan seperti kenapa mengganggu keluarga itu juga tersebar dengan pantas.

[LIVE] Kejadian api misteri ganggu keluarga

[LIVE] Kejadian api misteri ganggu keluarga Kejadian api misteri mengganggu di Kampung Penambang, Kelantan, lapor Wartawan Sinar Harian, Adila Sharinni Wahid.

Posted by Sinar Harian on Monday, December 30, 2019