Cubaan seludup 3,200kg beras gagal, PGA sita tiga kenderaan

Sebanyak 3,200kg beras diseludup dari Thailand melalui Sungai Golok dirampas dalam tiga serbuan bersaingan di Kampung Kok Seraya, Tumpat pada Sabtu. Foto:PGA
Sebanyak 3,200kg beras diseludup dari Thailand melalui Sungai Golok dirampas dalam tiga serbuan bersaingan di Kampung Kok Seraya, Tumpat pada Sabtu. Foto:PGA
A
A
A

TUMPAT – Pasukan Gerakan Am (PGA) merampas 3,200 kilogram (kg) beras yang dipercayai diseludup dari Thailand melalui Sungai Golok menggunakan pangkalan haram dalam tiga serbuan bersaingan di Kampung Kok Seraya, di sini pada Sabtu.

Operasi bermula jam 7 malam itu dilaksanakan anggota Strike Force/Tiger Platoon Kompeni A Batalion 9 PGA Kuala Terengganu menerusi Op Taring Wawasan apabila ketiga-tiga kenderaan ditinggalkan pemandu selepas menyedari kehadiran anggota dalam tiga serbuan berasingan.

Komander Briged Tenggara, Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain berkata, rampasan pertama dilakukan kira-kira jam 7 malam apabila anggota mengesan sebuah Proton Wira dalam keadaan mencurigakan ketika melakukan rondaan di sekitar Pengkalan Kubor.

"Pemandu kenderaan itu memecut sebelum berhenti di bahu jalan dan melarikan diri ke kawasan semak berhampiran selepas menyedari diekori anggota.

"Pemeriksaan menemukan 1,100kg beras dalam guni putih di bahagian tempat duduk penumpang belakang dan ruang bonet," katanya kepada pemberita pada Ahad.

Ujar beliau, dua lagi rampasan dilakukan di kawasan sama apabila anggota mengesan sebuah Proton Wira dan Iswara yang turut membawa muatan beras.

Ujarnya, dalam kedua-dua kejadian itu, pemandu masing-masing bertindak meninggalkan kenderaan dan melarikan diri ke kawasan semak selepas menyedari kehadiran pihak berkuasa.

"Pemeriksaan terhadap kedua-dua kenderaan masing-masing menemukan 1,050 kg beras.

"Anggota menunggu kira-kira 30 minit selepas setiap rampasan, namun tiada individu tampil menuntut kenderaan dan muatan berkenaan.

Artikel Berkaitan:

"Kesemua rampasan membabitkan tiga kenderaan dan 3,200kg beras dengan anggaran nilai keseluruhan RM37,800," katanya.

Menurut beliau, nilai itu merangkumi tiga kenderaan yang dianggarkan RM25,000 dan beras bernilai RM12,800.

Jelasnya, kes diserahkan kepada pihak Kawal Selia Padi dan Beras Negeri Kelantan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 20 Akta Kawalan Padi dan Beras Negara 1994.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!