Lelaki jatuh Jambatan Pulau Pinang suspek kes bunuh

Suspek berjaya diselamatkan sekumpulan nelayan selepas dia terjatuh dari Jambatan Pulau Pinang pada pagi Selasa. Gambar kecil: Mohd Asri
Suspek berjaya diselamatkan sekumpulan nelayan selepas dia terjatuh dari Jambatan Pulau Pinang pada pagi Selasa. Gambar kecil: Mohd Asri
A
A
A

KEPALA BATAS - [DIKEMAS KINI] Lelaki yang terjatuh dari Jambatan Pulau Pinang pada pagi Selasa merupakan suspek bagi kes tetak seorang wanita di Jalan Raja Uda, Butterworth di sini.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Asisten Komisioner Mohd Asri Shafie berkata, lelaki tersebut telah ditahan oleh sepasukan polis daripada Bahagian D9 Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang bagi membantu siasatan.

"Suspek warga tempatan berusia 29 tahun telah ditahan, namun dia masih menerima rawatan di hospital berhampiran kerana selepas kejadian tersebut, dia cuba terjun dari Jambatan Pulau Pinang tetapi berjaya diselamatkan oleh orang awam.

"Kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan, seorang lelaki berjaya diselamatkan oleh nelayan selepas terjatuh dari Jambatan Pulau Pinang di sini pada pagi Selasa.

Lelaki tersebut mengalami luka kecil pada bahagian kaki kirinya, namun telah diberikan rawatan awal oleh Angkatan Pertahanan Awam (APM).

Mangsa mengalami cedera parah selepas ditetak suspek menggunakan senjata tajam dan disahkan meninggal dunia di HSJ ketika menerima rawatan.
Mangsa mengalami cedera parah selepas ditetak suspek menggunakan senjata tajam dan disahkan meninggal dunia di HSJ ketika menerima rawatan.

Dalam pada itu, mengulas mengenai kejadian tetak tersebut, Mohd Asri berkata, Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis SPU menerima maklumat mengenai kejadian tetak seorang wanita tempatan pada jam 11.10 pagi.

Artikel Berkaitan:

Kata beliau, suspek telah menetak mangsa pada bahagian belakang leher menggunakan sebilah parang di Butterworth.

"Mangsa berusia 42 tahun dibawa ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) untuk rawatan, namun disahkan meninggal dunia jam 11.58 pagi.

"Pegawai penyiasat kes bersama sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat SPU serta pasukan forensik Jabatan Siasatan Jenayah IPK telah ke lokasi kejadian.

"Terdapat rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan berhampiran selain ada saksi kejadian bagi membantu siasatan," katanya lagi.

Mohd Asri berkata, siasatan mendapati, terdapat kesan tetakan pada bahagian belakang leher dan bahu kiri mangsa.

Katanya, mayat mangsa dibawa ke Jabatan Forensik HSJ untuk bedah siasat.

"Polis meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kes ini supaya menghubungi pegawai penyiasat, Asisten Superintenden Nasrina Darus di talian 04-576 2222 (sambungan 2275) atau mana-mana balai polis terdekat untuk membantu siasatan," katanya.