'Pusher' ditahan bersama 10 ketulan mampat ganja

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Rodzi Abu Hassan (tengah) menunjukkan ketulan mampat disyaki dadah jenis ganja dirampas di parkir kenderaan di RTC Napoh, Changlun, di sini,pada Isnin lepas.
Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Rodzi Abu Hassan (tengah) menunjukkan ketulan mampat disyaki dadah jenis ganja dirampas di parkir kenderaan di RTC Napoh, Changlun, di sini,pada Isnin lepas.
A
A
A

JITRA - Dua lelaki termasuk seorang warga Thailand ditahan bersama 10 bungkusan ketulan mampat tumbuhan kering disyaki dadah jenis ganja di parkir kenderaan di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Napoh, Changlun di sini, pada Isnin lepas.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintenden Rodzi Abu Hassan berkata, penahanan warga Thailand berusia lingkungan 30-an dan lelaki tempatan berusia 24 tahun itu dilakukan pada jam 4.45 petang oleh anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Kedah.

Beliau berkata, semasa pemeriksaan fizikal, polis merampas satu beg galas daripada suspek warga Thailand dan pemeriksaan lanjut menjumpai 10 bungkusan ketulan mampat tumbuhan kering disyaki dadah jenis ganja dianggarkan seberat 10.2 kg.

"Hasil saringan air kencing kedua-dua suspek yang merupakan penganggur dan pekerja buruh itu mendapati mereka positif dadah jenis methamphetamine.

"Selain itu, salah seorang suspek yang merupakan warga tempatan juga mempunyai enam rekod jenayah lampau," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kubang Pasu, di sini, pada Rabu.

Susulan itu, kata beliau, pihak polis merampas dadah dianggarkan bernilai RM33,000 dan turut menyita dua buah motosikal milik suspek.

Rodzi memaklumkan, kedua-dua lelaki disyaki bertindak sebagai 'pusher' dan dipercayai memperolehi dadah terbabit dari negara jiran.

Menurut beliau lagi, pihaknya percaya dadah tersebut dibawa masuk ke negara ini melalui lorong tikus di sempadan negara namun masih menyiasat modus operandi suspek.

Artikel Berkaitan:

Kedua-dua suspek direman selama tujuh hari hingga 25 Disember depan dan kes disiasat mengikut 39B Akta Dadah Berbahaya.