Raja Muda Kedah berkenan agih bantuan sekolah di Langkawi

Tengku Sarafuddin Badlishah menyampaikan sumbangan kepada pelajar terpilih.
Tengku Sarafuddin Badlishah menyampaikan sumbangan kepada pelajar terpilih.
A
A
A

LANGKAWI - Langkawi menjadi daerah terakhir bagi Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) membuat agihan bantuan persekolahan kepada pelajar keluarga asnaf terpilih.

Raja Muda Kedah, Tengku Sarafuddin Badlishah Sultan Salehuddin dan Raja Puan Muda Kedah, Che Puan Muda Zaheeda Mohamad Ariff berkenan berangkat menyempurnakan majlis tersebut.

Majlis agihan bantuan persekolahan itu diadakan di Masjid Al-Hana, Kuah Langkawi hari ini.

Pasangan Diraja itu turut menyantuni golongan asnaf dengan menyarungkan pakaian kepada penerima.

Tengku Sarafuddin Badlishah menyarungkan pakaian sekolah kepada penerima.
Tengku Sarafuddin Badlishah menyarungkan pakaian sekolah kepada penerima.

Ketua Pegawai Eksekutif LZNK, Syeikh Zakaria Othman berkata, LZNK memperuntukkan lebih RM1.3 juta bagi membantu 20,979 pelajar kurang berkemampuan memulakan sesi persekolahan di seluruh Kedah.

Menurutnya, bantuan persekolahan itu membabitkan 20,979 pelajar dalam kalangan asnaf yang dipilih oleh Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) masing-masing.

“Setiap pelajar menerima sepasang pakaian sekolah serta beg, sekali gus menjimatkan perbelanjaan waris dalam mempersiapkan persekolahan anak-anak.

Artikel Berkaitan:

“Bantuan seperti ini juga mampu memberikan semangat kepada pelajar untuk belajar bersungguh-sungguh dan satu hari nanti mereka dapat mengubah taraf hidup keluarga masing-masing,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tengku Sarafuddin Badlishah dan Che Puan Muda Zaheeda bergambar bersama penerima sumbangan.
Tengku Sarafuddin Badlishah dan Che Puan Muda Zaheeda bergambar bersama penerima sumbangan.

Syeikh Zakaria berkata, pelajar dari Kuala Muda yang pertama menerima bantuan itu semalam membabitkan 3,486 pelajar daripada 79 sekolah.

“Selain Kuala Muda, bantuan juga disalurkan kepada pelajar di daerah Kota Setar membabitkan 3,180 orang; Kubang Pasu (2,552); Baling (2,403); Kulim (1,760); Pendang (1,751); Yan (1,100); Sik (1,091); Pulau Langkawi (998); Padang Terap (987); Pokok Sena (854); dan Bandar Baharu (817),” katanya.