Pukul penuntut warga China: Polis hubungi pengendali e-hailing

Laporan Sinar Harian pada Selasa.
Laporan Sinar Harian pada Selasa.
A
A
A

KUANTAN - Polis akan menghubungi syarikat pengendali e-hailing bagi mendapatkan butiran pemandu yang terlibat dalam kejadian mencederakan seorang penuntut warga China menggunakan kerusi lipat besi di pekarangan sebuah hotel di Jalan Sekilau di sini pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, tindakan tersebut dilakukan bagi membolehkan pihak polis mengesan suspek dalam kes ini.

Menurutnya, penuntut Universiti Putra Malaysia, Serdang Selangor yang berusia 22 tahun itu bersama rakannya melancong ke bandar raya ini pada Jumaat lalu.

"Pada hari kejadian, mangsa bersama rakannya menaiki kenderaan e-hailing, sebaik sahaja tiba di sebuah hotel, suspek dikatakan mengamuk dan mengeluarkan kerusi besi lipat terus menyerang mangsa secara bertubi-tubi.

"Akibat serangan itu, mangsa mengalami kecederaan pada bahagian badan seperti patah dua jari tangan kanan, luka dan lebam," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Wan Mohd Zahari berkata, berdasarkan keterangan, mangsa memaklumkan tidak mengetahui punca mengapa dia dipukul oleh suspek.

Menurutnya, siasatan juga sudah dilakukan di lokasi kejadian termasuk mendapat keterangan saksi dan menyemak rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di pekarangan hotel terbabit.

"Pegawai penyiasat sudah ke lokasi kejadian bersama mangsa hari ini. Terdapat rakaman CCTV di hotel itu dan polis juga memanggil pekerja hotel bertugas dan menyaksikan kejadian itu untuk membantu siasatan.

Artikel Berkaitan:

"Berdasarkan siasatan, kecederaan dialami mangsa disebabkan dipukul objek keras ketika kejadian," katanya

Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan.

Sinar Harian sebelum ini menyiarkan luahan mangsa yang trauma dengan kejadian itu.

Mangsa juga meminta pihak polis menjalankan siasatan dan menangkap pemandu e-hailing terbabit kerana tindakannya boleh membahayakan penumpang lain.