Jenayah komersial akibatkan kerugian RM46 juta di NS

Aibee Ab Ghani
Aibee Ab Ghani
A
A
A

SEREMBAN – Sebanyak 1,849 kes jenayah komersial direkodkan di Negeri Sembilan membabitkan kerugian RM46 juta bagi tempoh Januari hingga Oktober lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Negeri Sembilan, Superintendan Aibee Ab Ghani berkata, jumlah itu meningkat sebanyak 416 kes berbanding tahun sebelumnya bagi tempoh sama iaitu 1,433 kes dengan kerugian sebanyak RM24.6 juta.

“Pinjaman tidak wujud mencatatkan kes paling tinggi iaitu 374 kes dengan kerugian RM2.75 juta berbanding tahun sebelumnya kes belian dalam talian iaitu 316 kes dengan kerugian RM767,962.

“Kes kedua tertinggi iaitu kes 'telecommunication fraud' atau Macau Scam iaitu 304 kes dengan kerugian RM6.94 juta berbanding tahun lalu 291 kes dengan kerugian RM5.97 juta,” katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Menurutnya, kes pembelian dalam talian (e-dagang) kes ketiga tertinggi tahun ini yang mencatatkan kerugian RM1.18 juta manakala bagi tahun sebelumnya ialah kes pinjaman tidak wujud iaitu 266 kes dengan kerugian RM1.75 juta.

Selain itu katanya, kes penipuan Love Scam juga menunjukkan peningkatan 28 kes tahun ini iaitu 97 kes berbanding 69 kes tahun sebelumnya.

“Kerugian masing-masing iaitu RM3.28 juta berbanding tahun sebelumnya RM1.2 juta.

“Kes pinjaman ah long hanya mencatatkan kerugian RM13,000 tahun ini meskipun jumlah kes direkodkan 55 kes berbanding tahun sebelumnya 17 kes dengan kerugian RM122,500,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, secara keseluruhan statistik menunjukkan kes jenayah komersial terus mencatatkan peningkatan meskipun pelbagai usaha dan sebaran maklumat dilakukan bagi memberi kesedaran kepada masyarakat.