Kilang simpan buangan bekas kit ujian Covid-19 diserbu

Sharifah Zakiah (kanan) sedang memeriksa bahan buangan yang terdapat di premis yang digempur. Gambar kecil: Antara bahan buangan yang berjaya ditemui ketika pemeriksaan.
Sharifah Zakiah (kanan) sedang memeriksa bahan buangan yang terdapat di premis yang digempur. Gambar kecil: Antara bahan buangan yang berjaya ditemui ketika pemeriksaan.
A
A
A

SUNGAI PETANI - Jabatan Alam Sekitar (JAS) negeri Kedah menggempur dua kilang haram di Mukim Pinang Tunggal, Daerah Kuala Muda di sini pada Isnin.

Pengarahnya, Sharifah Zakiah Syed Sahab berkata, serbuan dibuat pada jam 11 pagi dengan kekuatan 20 pegawai JAS dan dibantu sekumpulan pegawai polis dari Cawangan Khas Ibu Pejabat Polis (IPK) Kedah.

Katanya, ketika serbuan terdapat sekumpulan pekerja asing yang cuba melarikan diri ke kawasan belukar berhampiran.

"Kilang pertama merupakan kilang kayu yang tidak berlesen dan kilang kedua yang ditemui boleh diakses melalui kilang pertama.

"Kilang kedua ini didapati menjadi tempat penyimpanan buangan terdiri daripada sisa plastik dan buangan terjadual SW 404 iaitu sisa klinikal," katanya dalam kenyataan di sini pada Isnin.

Menurutnya, pemeriksaan lanjut mendapati terdapat bahan-bahan yang disyaki sisa klinikal seperti bekas kit ujian kendiri Covid-19, picagari dan jarum.

"Semua barangan terbabit dihancurkan dan dibasuh bagi tujuan kitar semula, kemudian air buangan ini disalurkan ke kolam takungan dan dilepaskan tanpa rawatan ke longkang awam dan seterusnya memasuki Sungai Muda," katanya.

Jelasnya, JAS Kedah telah menghubungi Jabatan Imigresen Kedah untuk tindakan pemeriksaan ke atas sebahagian pekerja yang berjaya ditahan.

Artikel Berkaitan:

"Siasatan awal mendapati kilang pemprosesan plastik haram serta sisa klinikal ini dipercayai didalangi oleh warga China.

"Kita akan menjalankan siasatan lanjut untuk menentukan sama ada buangan ini dari sumber tempatan atau dibawa dari luar negara," ujarnya.

Sharifah Zakiah berkata, JAS Kedah menjalankan Penahanan Operasi Kelengkapan dibawah Seksyen 38, Akta Kualiti Slam Sekeliling, 1974.

"Aktiviti kitar semula sisa plastik terpakai tanpa kelulusan merupakan kesalahan dibawah Seksyen 34A, Akta Kualiti Alam Sekeliling, 1974. Penalti bagi kesalahan ini adalah RM500,000 dan atau penjara lima tahun," katanya.

Ujarnya, bagi kesalahan memproses buangan terjadual sisa klinikal tanpa kelulusan EIA, penalti yang sama juga boleh dikenakan dibawah Seksyen 34A, Akta Kualiti Alam Sekeliling, 1974.

"Bagi kesalahan peletakan Buangan Terjadual, premis boleh dikenakan penalti RM500,000 dan mandatori penjara lima tahun, pemis juga boleh dikenakan tindakan kerana beroperasi tanpa lesen dari JAS dan dikenakan tindakan dibawah Seksyen 18, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

"Kompaun sebanyak RM2,000 setiap satu juga boleh dikenakan bagi tiap kesalahan di bawah Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005," katanya.

Jelas beliau lagi, selain daripada Penahanan Operasi Kelengkapan, JAS Kedah akan turut memohon kepada Ketua Pengarah Alam Sekitar untuk Perintah Larangan dibawah Seksyen 34AA dikenakan ke atas premis.