Tiada kes kit ujian Covid-19, pelitup muka dijual mahal di Sabah

KPDN Sabah tidak menerima sebarang aduan kenaikan harga bagi kit ujian kendiri Covid-19, pelitup muka dan cecair sanitasi di negeri ini. - Gambar Bernama
KPDN Sabah tidak menerima sebarang aduan kenaikan harga bagi kit ujian kendiri Covid-19, pelitup muka dan cecair sanitasi di negeri ini. - Gambar Bernama
A
A
A

KOTA KINABALU - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Sabah tidak menerima sebarang aduan kenaikan harga bagi kit ujian kendiri Covid-19, pelitup muka dan cecair sanitasi di negeri ini.

Malah tiada berlaku sebarang pembelian panik terhadap kesemua barangan tersebut di pasaran.

Timbalan Pengarah KPDN Sabah Zulfamy Mat Udi berkata, beberapa premis farmasi yang telah diperiksa memaklumkan berlaku sedikit peningkatan permintaan terhadap kit ujian kendiri Covid-19.

"Namun bekalan masih ada dan mencukupi. Pihak farmasi juga sentiasa menambah bekalan daripada pembekal untuk menampung permintaan yang dijangka akan meningkat.

"Tidak berlaku pembelian panik daripada pengguna," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Zulfamy yang juga Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDN Sabah berkata, anggota penguat kuasa akan sentiasa berada di lokasi yang menjadi tumpuan orang ramai membeli-belah.

"Contohnya pasar awam, pasar tani dan pasar raya untuk menjalankan pemeriksaan dan pemantauan setiap hari bagi barang keperluan termasuk pelitup muka, cecair sanitasi serta kit ujian kendiri Covid-19.

"Tindakan ini sebagai langkah untuk menstabilkan harga barangan serta memastikan keberadaan bekalannya di pasaran mencukupi, mudah didapati dan dijual pada harga yang berpatutan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau turut menegaskan mana-mana peniaga yang melakukan kesalahan akan diambil tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan (AKHAP) 2011 dan Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961.