Jumlah mangsa banjir di Selangor meningkat

Gambar fail.
Gambar fail.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di Selangor merekodkan peningkatan malam ini, manakala di Kelantan dan Perak menurun.

Di SELANGOR, menurut Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), jumlah mangsa banjir di negeri itu kembali meningkat kepada 25 orang melibatkan lapan keluarga setakat jam 9 malam ini, berbanding 14 orang daripada lima keluarga pagi tadi.

Kesemua mangsa tersebut ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Sultan Abdul Aziz Shah di Kuala Selangor, yang mula dibuka sejak semalam.

Di KELANTAN jumlah mangsa banjir menurun kepada 3,240 orang daripada 992 keluarga setakat 8 malam ini, berbanding 5,087 orang daripada 1,592 keluarga pagi tadi.

Menurut portal Info Bencana JKM, kesemua 10 PPS yang dibuka, melibatkan jajahan Pasir Mas.

10 PPS tersebut ialah SK Gual Tinggi, SK Gual To’Deh, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Gual Periok, SMK Baroh Pial, SK Kedai Tanjong, SK Gual Periok, Madrasah Tasek Bakong, Masjid Mukim Padang Licin, SK Sri Kiambang dan SMA (Agama) Pohon Buluh.

Di PERAK, jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di PPS Dewan Serbaguna Padang Tembak, Teluk Intan menurun sedikit kepada 64 orang daripada 17 keluarga setakat jam 8 malam ini, berbanding 65 orang daripada 18 keluarga, pagi tadi.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Perak memaklumkan, kawasan yang terjejas banjir pula kekal melibatkan Batu 9, Lorong Kedah, Lorong Belakang Klinik, Lorong Sidang Osman, Batu 7, Batu 8, Lorong Imam Khairi dan Lorong Mesra. - Bernama

Artikel Berkaitan: