4,336 mangsa banjir di empat negeri masih ditempatkan di PPS

Anggota IPD Pasir Mas membantu memindahkan penduduk Kampung Serongga ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Sri Kiambang berikutan kediaman mereka dilanda banjir. - Foto Bernama
Anggota IPD Pasir Mas membantu memindahkan penduduk Kampung Serongga ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Sri Kiambang berikutan kediaman mereka dilanda banjir. - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Seramai 4,336 mangsa terjejas banjir melibatkan 1,338 keluarga di empat negeri masih ditempatkan di pusat pemindahan sementara setakat jam 12 tengah hari pada Selasa.

Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) dalam satu kenyataan berkata, Kelantan merekodkan jumlah mangsa tertinggi iaitu seramai 4,237 orang daripada 1,311 keluarga yang ditempatkan di 15 PPS.

Di Perak pula, terdapat 65 mangsa daripada 18 keluarga masih berlindung di pusat pemindahan, diikuti 20 mangsa membabitkan empat keluarga di Terengganu, manakala Selangor seramai 14 mangsa masih terjejas.

"Pihak Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) pada 19 Disember 2023, jam 2petang telah mengemaskini amaran hujan berterusan peringkat waspada yang melibatkan beberapa daerah di negeri Sabah sehingga 19 Disember 2023 dan beberapa daerah di negeri Pahang dan Johor sehingga 21 Disember 2023.

No Image Caption

"Amaran hujan berterusan peringkat waspada juga telah dikeluarkan untuk seluruh daerah di Kelantan dan Terengganu serta beberapa daerah di negeri Pahang mulai 21 hingga 25 Disember 2023," kata kenyataan itu pada Selasa.

Menurut Nadma lagi, berdasarkan analisis model-model cuaca, luruan monsun dijangka berlaku sehingga 25 Disember 2023.

Keadaan ini katanya, berpotensi membawa hujan berterusan di timur Semenanjung Malaysia serta angin kencang dan laut bergelora di Laut China Selatan dalam tempoh berkenaan.

Artikel Berkaitan:

"Tiada amaran banjir yang dikeluarkan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) buat masa ini, namun terdapat dua sungai yang melebihi aras bahaya, iaitu Sungai Golok di Rantau Panjang, Kelantan Sungai Bidor di Changkat Jong, Perak," katanya.

"Nadma selaku urus setia kepada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat (JPBP) akan sentiasa memastikan semua agensi meningkatkan kesiapsiagaan menghadapi bencana di semua peringkat.

"Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) dan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) telah diaktifkan di negeri-negeri yang dilanda banjir bagi memastikan PPS dilengkapi dengan kemudahan asas yang mencukupi dan menyelaras semua aktiviti tindak balas melibatkan pelbagai agensi," katanya.

Tambah kenyataan itu, bagi memastikan keselesaan dan kebajikan mangsa banjir, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah bersedia untuk mengaktifkan 8,481 PPS yang mempunyai kapasiti untuk menempatkan 1,620,855 mangsa di seluruh negara.