Banjir: Belia harungi air paras pinggang bantu penduduk berpindah

Pemandu bot, Raihan Mohamad, 24, (kiri) membantu memindahkan penduduk dari Kampung Serongga ke PPS Sekolah Kebangsaan Sri Kiambang berikutan kediaman mereka dilanda banjir. - Foto Bernama
Pemandu bot, Raihan Mohamad, 24, (kiri) membantu memindahkan penduduk dari Kampung Serongga ke PPS Sekolah Kebangsaan Sri Kiambang berikutan kediaman mereka dilanda banjir. - Foto Bernama
A
A
A

PASIR MAS - Musim banjir menonjolkan amalan tolong-menolong sesama anggota masyarakat termasuk di Kampung Serongga di sini, apabila para belianya sanggup mengharungi air separas pinggang bagi membantu penduduk yang memerlukan bantuan.

Mohamad Izzat Pead, 20, berkata, sejak pagi tadi beliau dibantu dua rakannya membantu memindahkan motosikal penduduk dari kampung itu ke lokasi lebih tinggi susulan Sungai Teresek semakin naik sejak petang semalam.

"Kebiasaannya apabila berlaku banjir penduduk akan membantu antara satu sama lain, jika ada yang memerlukan bantuan untuk memindahkan barangan, motosikal atau penduduk kami akan bantu.

"Saya dibantu rakan masukkan motosikal ke dalam bot dan membawanya kira-kira 500 meter dari kawasan yang terjejas banjir disebabkan bot hanya muat sebuah jadi saya perlu berulang kali masuk ke dalam kawasan terjejas banjir. Sejak pagi tadi saya dah bantu pindahkan empat motosikal," katanya ketika ditemui Bernama di sini hari ini.

Mohamad Izzat (belakang) bersama dua rakannya membantu memindahkan motosikal penduduk dari Kampung Serongga ke lokasi lebih tinggi susulan paras air Sungai Teresek semakin meningkat sejak petang semalam. - Foto Bernama

Bercerita lanjut, Mohamad Izzat yang bekerja sendiri berkata, dalam tempoh kurang sebulan Kampung Serongga sudah dua kali terjejas banjir.

"Beberapa hari lepas, kami dah dapat pulang ke rumah, tetapi sejak semalam air mula kembali naik menyebabkan saya, ibu bapa serta enam lagi ahli keluarga terpaksa berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Kiambang buat kali kedua dalam tempoh kurang sebulan," katanya.

Bagi Raihan Mohamad, 24, beliau turut menolong memindahkan penduduk yang terjejas ke PPS SK Sri Kiambang.

Artikel Berkaitan:

"Selain ibu dan ahli keluarga yang lain, saya turut bantu pindahkan penduduk lain yang memohon bantuan.

Penduduk menggunakan bot untuk membantu memindahkan penduduk dari Kampung Serongga ke PPS Sekolah Kebangsaan Sri Kiambang berikutan kediaman mereka dilanda banjir. - Foto Bernama
Penduduk menggunakan bot untuk membantu memindahkan penduduk dari Kampung Serongga ke PPS Sekolah Kebangsaan Sri Kiambang berikutan kediaman mereka dilanda banjir. - Foto Bernama

"Cuaca hari ini baik serta cerah dan tidak hujan tetapi paras air semakin naik sebab itu ramai penduduk tidak mahu ambil risiko jadi mereka segera berpindah ke PPS, saya bantu pindahkan mereka yang memerlukan bantuan," katanya yang juga bekerja sendiri.

Sementara itu, tinjauan Bernama di Kampung Serongga mendapati anggota polis dari Ibu Pejabat Polis (IPD) Pasir Mas turut membantu memindahkan mangsa banjir ke PPS SK Sri Kiambang. - Bernama