Pamer warisan Istiadat Berkhatan Kesultanan Melayu Kelantan

Profesor Madya Ahamad Tarmizi (kanan) mengiringi Nik Ahmad Shazzwan (tiga dari kanan) melihat pameran replika istiadat berkhatan Kesultanan Melayu Kelantan.
Profesor Madya Ahamad Tarmizi (kanan) mengiringi Nik Ahmad Shazzwan (tiga dari kanan) melihat pameran replika istiadat berkhatan Kesultanan Melayu Kelantan.
A
A
A

BACHOK - Aktivis Temasya Orang Kampung (TOK) mengambil inisiatif mempamerkan warisan Istiadat Berkhatan Kesultanan Melayu Kelantan yang kali terakhir pernah dilaksanakan pada tahun 1933.

Istiadat dipamerkan termasuklah replika burung petala, alat muzik tradisional seperti gong, tetuang tanduk kerbau, serunai, pulut kuning, sireh junjung, persiraman tujuh jenis air (kelapa, bunga rampai, tawar, beluru, panca logam, penawar dan teresak) dan tujuh lapis kain (sutera atau songket) beserta batang pisang.

Pengarah TOK 2.0, Profesor Madya Ahamad Tarmizi Azizan berkata, penganjuran itu bertujuan mengimbau kembali kegemilangan adat warisan seni budaya diraja dalam istiadat berkhatan kanak-kanak lelaki sebelum menempuh alam remaja.

Kain tujuh lapis dan batang pisang yang digunakan dalam istiadat berkhatan diraja zaman dahulu.
Kain tujuh lapis dan batang pisang yang digunakan dalam istiadat berkhatan diraja zaman dahulu.

“Kami pamerkan sebahagian daripada adat yang digunakan raja dahulu untuk memberi pendedahan dan pengetahuan sejarah kepada komuniti.

“Seperti juga istiadat berkhatan dalam kalangan rakyat biasa zaman dulu seperti mandi sungai yang kini semakin dilupakan dan kita mahu pengetahuan berkait warisan ini dipelihara untuk generasi akan datang,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Temasya Orang Kampung Istiadat Berkhatan di Telong di sini, pada Sabtu.

Majlis dirasmikan oleh Timbalan Ketua Jajahan Pejabat Tanah dan Jajahan Bachok, Nik Ahmad Shazzwan Nek Mumhammad.

Turut diadakan program berkhatan 60 kanak-kanak beramai-ramai bermula dengan perarakan dengan mengenakan baju Melayu sejauh 30 meter bersama ibu bapa yang membawa pulut kuning.

Artikel Berkaitan:

Seramai 60 kanak-kanak dikhatankan beramai-ramai.
Seramai 60 kanak-kanak dikhatankan beramai-ramai.

Menurut Profesor Madya Ahamad Tarmizi, elemen bersifat ekslusif untuk golongan raja dan bangsawan zaman dahulu seperti pelata atau tandu itu terdapat dalam pelbagai bentuk serta jenis mengikut peredaran zaman.

“Kebiasaan usungan dibuat seakan perahu berhias mempunyai bumbung limas dan bertiang empat seakan kubah.

“Anak-anak bangsawan juga ada diarak menggunakan gajah manakala golongan biasa hanya digendong oleh orang dewasa tetapi tujuannya adalah sama iaitu untuk menghiburkan dan menghilangkan rasa takut kanak-kanak,” ujarnya.

Beliau berkata, perarakan berkhatan tradisonal turut melibatkan acara cukur rambut kanak-kanak dan dipakaikan baju pahlawan Melayu.

“Perarakan dimulakan dengan pembawa bendera (pawa), wanita pembawa pulut kuning, sireh, paluan gendang silat, usungan hiasan, pembawa buah sepulih dan pemalu rebana besar.

“Sepulih ini ialah dahan kayu yang mempunyai ranting digantungkan dengan pelbagai jenis kuih-muih tradisional seperti karas, geneng, bahulu dan ketupat selain pisang, tebu serta buah kelapa untuk diambil kanak-kanak,” kata beliau.

Sementara itu, seorang suri rumah dari Kampung Nelayan Bachok, Haslinda Abd Halim, 42, berkata, hasrat dua anaknya, Muhamad Syami Hazim Riefqi Mohd Shukri, 10, dan Muhamad Syami Haziq Raiyan, 8, tercapai untuk berkhatan beramai-ramai mengikut adat tradisional.

“Mereka berdua rapat dan sudah lama mahu berkhatan bersama-sama rakan-rakan sekampung.

“Mereka dimandikan dengan paip bomba sebelum acara khatan berlangsung,” katanya.