Taat dan patuhi rukun Islam

Kakitangan Zakat Melaka sedia membantu anda di kaunter pengurusan.
Kakitangan Zakat Melaka sedia membantu anda di kaunter pengurusan.
A
A
A

Terdapat suatu fenomena dalam kalangan umat Islam yang mengambil ringan terhadap rukun Islam yang lima. Mereka menumpukan suatu rukun Islam tetapi pada masa yang sama meninggalkan rukun yang lain. Sedangkan kerukunan ibadah dalam Islam itu haruslah bersifat konsisten, ikhlas dan perlu mempunyai elemen dan nilai penyerahan kepada ALLAH SWT, barulah rukun itu boleh dikatakan sempurna bagi seseorang Muslim.

Ada sesetengah Muslim, hanya mementingkan solatnya tetapi mereka ini enggan mengeluarkan zakat. Sedangkan seruan terhadap berzakat itu boleh dikatakan bernilai setara dengan solat. Hampir setiap kali apabila al-Quran menyebutkan tentang solat, maka akan digandingkan dengannya perintah berzakat.

Ini berlaku sebanyak 28 kali sebutan di dalam al-Quran dan ianya dilihat sebagai satu mesej penting ALLAH kepada manusia. Sepertimana firman ALLAH SWT dalam Surah Al-Baqarah ayat 43, yang bermaksud: “Dan dirikanlah solat dan keluarkanlah zakat dan rukuklah bersama-sama mereka yang rukuk.”

Solat dan zakat adalah sesuatu yang mempunyai perkaitan yang rapat. Ianya seperti menyempurnakan iman apabila melakukan ibadah yang bersifat badani (ibadat yang yang dilaksanakan dengan tubuh badan), dan dilengkapkan dengan ibadah maaliah (ibadah yang dilaksanakan dengan membelanjakan harta).

Muslim sejati bukan hanya mendirikan solat tetapi tidak mengabaikan rukun Islam yang lima.
Muslim sejati bukan hanya mendirikan solat tetapi tidak mengabaikan rukun Islam yang lima.

Iman itu tidak cukup sekadar dengan lidah, dengan hati serta menyempurnakan ibadah dengan tubuh badan, tetapi ianya juga bermaksud mengeluarkan dan membelanjakan harta ke jalan ALLAH demi menegakkan agamanya.

Orang yang hanya solat dan tidak mengeluarkan zakat adalah mereka yang belum sempurnakan imannya. Mereka sekadar merasakan hanya orang yang kaya raya dan mempunyai lebihan harta sahaja wajib berzakat.

Mereka ini tidak sedar bahawa mereka sendiri tidak pernah mentaksirkan atau menghitung pendapatan dan harta yang dimiliki sama ada sudah melepasi nisab dan haul atau tidak. Akhirnya mereka kekal leka tidak berzakat dan berasa cukup dengan amalan sedia ada sedangkan pada masa yang sama mereka ini telah berdosa tidak mengembalikan harta kepada mereka yang berhak sedangkan kewajipan itu telah pun terbeban ke atas diri mereka.

Artikel Berkaitan:

Kaitan solat dengan ibadah lain

Sebahagian mereka yang lain pula hanya mementingkan ibadah puasa sahaja. Kerana itu agak sukar kita menemukan mereka yang makan di khalayak ramai di bulan Ramadan. Namun, mereka ini pula meninggalkan solat pada sepanjang masa.

Terdapat juga dalam kalangan mereka ini selama hidup tidak pernah membongkok untuk rukuk dan sujud menunaikan solat. Sedangkan solat itu adalah asas dan tiang kepada agama dan perlu dilakukan oleh setiap Muslim tidak kira dalam apa jua keadaan sama ada sihat atau sakit, menetap di suatu tempat atau bermusafir, tetap diwajibkan juga di kala aman atau perang.

Wajib bagi setiap orang Islam memperuntukkan sebahagian pendapatan untuk menunaikan haji.
Wajib bagi setiap orang Islam memperuntukkan sebahagian pendapatan untuk menunaikan haji.

Ada juga dalam kalangan umat Islam yang tidak menghiraukan soal tanggungjawab melaksanakan haji. Pada hemat mereka, haji itu hanya dilakukan apabila sudah usia tua sahaja. Ada dalam kalangan mereka yang sudah mempunyai wang yang cukup untuk melaksanakan haji, namun mereka cenderung untuk melancong atau membelanjakan harta mereka hanya untuk memenuhi kepuasan diri dan nafsu.

Ada pula yang tidak langsung memperuntukkan sebahagian kecil daripada pendapatannya untuk rancangan mengerjakan haji. Adalah wajib untuk kita memperuntukkan sebahagian harta pendapatan yang diperoleh untuk disimpan sebagai bekalan menunaikan haji, walaupun usia kita masih muda.

Ini adalah sebahagian sikap umat manusia pada hari ini. Ianya perlu dirawat dan diperbaiki agar sikap-sikap yang membawa kepada keruntuhan rukun Islam ini tidak berlaku dan kita mahukan Muslim yang mempunyai pegangan yang kuat dalam beragama dan rukun Islam adalah titik tolak untuk kita menuju ke arah Muslim yang mengambil berat akan agamanya.

Sebarang pertanyaan, permasalahan dan pengiraan zakat bolehlah menghubungi di talian 06-2812441/42/43 ZAKAT MELAKA atau melayari laman web www.izakat.com.

Untuk sebarang urusan berkaitan zakat, sila hubungi Zakat Melaka.
Untuk sebarang urusan berkaitan zakat, sila hubungi Zakat Melaka.



Oleh: KETUA PEGAWAI EKSEKUTIF ZAKAT MELAKA, ABDUL HALIM ISMAIL