Norza buat pusingan U, kekal terajui BAM

Mohamad Norza pada sidang akhbar di ABM, Bukit Kiara sebentar tadi.
Mohamad Norza pada sidang akhbar di ABM, Bukit Kiara sebentar tadi.
A
A
A

TAN Sri Mohamad Norza Zakaria sah membuat pusingan U untuk terus kekal memegang tampuk kepimpinan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) sehingga tamat penggal 2025.

Perkara itu diumumkan beliau pada Mesyuarat Ahli Lembaga BAM yang berlangsung di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara, Kuala Lumpur sebentar tadi.

Menurut Mohamad Norza, beliau mengambil tanggungjawab meneruskan tugasnya selepas menerima saranan daripada Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh selain mendapat sokongan penuh kesemua Ahli Majlis BAM.

"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada YB (Yang Berhormat) Hannah Yeoh atas sokongan dan bimbingannya selama ini, serta permintaannya untuk mahukan saya kekal sebagai Presiden BAM.

"Selepas pertimbangan secara rapi dan sokongan padu daripadanya, serta perbincangan menyeluruh bersama Ahli Majlis BAM, saya dengan ini mengumumkan untuk kekal sebagai Presiden BAM.

"Perkara ini tidak diputuskan secara terburu-buru tetapi dibuat menerusi perbincangan dengan semua Ahli Majlis BAM bagi memastikan kestabilan dalam fasa yang amat penting menuju Sukan Olimpik Paris 2024," katanya.

Terdahulu, Hannah meminta Mohamad Norza memikirkan semula keputusan untuk melepaskan jawatannya selaku Presiden BAM pada hujung tahun ini.

Malah, Hannah berkata, program Road to Gold (RTG) direka bagi mengelak jika berlaku perubahan kepimpinan dalam dalam Kementerian Belia dan Sukan (KBS) ataupun MOM dengan mempunyai dua pengerusi bersama.

Artikel Berkaitan:

Pada Ogos lalu, Mohamad Norza mengumumkan akan melepaskan jawatannya pada hujung tahun ini selepas memikirkan sudah ada individu yang layak menggantikan tempatnya bagi memacu BAM.

Selain mahu melepaskan jawatan selaku Presiden BAM, beliau juga pernah menyuarakan hasrat untuk mengundurkan diri daripada jawatan sebagai Presiden MOM selepas berakhirnya Sukan Olimpik Los Angeles 2028.

Pada Oktober lalu, Ahli Majlis BAM sebulat suara bersetuju menamakan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz yang juga Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) sebagai pengganti Mohamad Norza.