Servis di tangan Norza

Laporan Sukan Sinar pada 13 Disember (kiri), Roslin
Laporan Sukan Sinar pada 13 Disember (kiri), Roslin
A
A
A

BEKAS pemain badminton nombor satu dunia, Roslin Hashim optimis Tan Sri Mohamad Norza Zakaria mampu membuat pilihan terbaik untuk terus menerajui Persatuan Badminton Malaysia (BAM) atau kekal dengan keputusan melepaskan jawatan itu akhir tahun ini.

Roslin berkata, sebarang keputusan terletak di tangan Mohamad Norza kerana mungkin ada lagi tugasan di BAM yang memerlukan perhatian serta nasihat presiden sedia ada.

Beliau menambah, semua pihak perlu menghormati pandangan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh yang mahu Mohamad Norza mempertimbangkan semula hasrat untuk melepaskan jawatan nombor satu BAM.

“Kita tidak boleh nafikan hasrat menteri. Daripada sudut berbeza mungkin masih ada lagi kerja di BAM yang perlu Tan Sri (Mohamad Norza) selesaikan.

“Apa pun terserah kepada Tan Sri dan persetujuan daripada Ahli Majlis BAM (lepas jawatan presiden BAM atau sebaliknya),” katanya kepada Sukan Sinar pada Jumaat.

Roslin menjelaskan, sekiranya Mohamad Norza mengubah pendiriannya untuk kekal memimpin BAM sehingga Sukan Olimpik Paris 2024 ia mungkin boleh mencapai satu kejayaan besar pada temasya tersebut atau sebarang kejohanan badminton pada tahun depan.

“Mungkin hasil 'air tangan' dan idea Tan Sri skuad badminton mampu melakar keputusan positif membawa pulang pingat pada Sukan Olimpik dan kejohanan besar lain,” katanya.

Malah Roslin juga menyifatkan Mohamad Norza mungkin membuat keputusan melepaskan jawatan dalam keadaan tidak menentu ketika kemelut penamatan kontrak Datuk Misbun Sidek sebagai pengarah pembangunan remaja negara Julai lalu.

Artikel Berkaitan:

“Mungkin ketika itu Tan Sri berdepan dengan beberapa tekanan sehingga mendorongnya melepaskan jawatan,” katanya.

Hannah menerusi hantaran di X pada Selasa meminta Mohamad Norza memikirkan semula keputusan untuk melepaskan jawatannya selaku Presiden BAM pada hujung tahun ini.

Mohamad Norza dalam reaksinya sedia mempertimbangkan semula keputusannya itu di atas dasar hormat terhadap Hannah.

Pun begitu, segala persoalan itu akan terjawab selepas mesyuarat Ahli Majlis BAM pada Sabtu.

Mohamad Norza pada Ogos lalu mengumumkan akan melepaskan jawatannya pada hujung tahun ini selepas memikirkan sudah ada individu yang layak menggantikan tempatnya bagi memacu BAM.

Selain mahu melepaskan jawatan selaku Presiden BAM, beliau juga pernah menyuarakan hasrat untuk mengundurkan diri daripada jawatan sebagai Presiden MOM selepas berakhirnya Sukan Olimpik Los Angeles 2028.

Pada Oktober lalu, Ahli Majlis BAM sebulat suara bersetuju menamakan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz sebagai pengganti Mohamad Norza.