Kilang peralatan ketenteraan di Kechau antara terbesar di Asia

Abdul Rahman (tiga dari kiri) bersama replika cek sempena CSR Parlimen Lipis dengan LLM pada Jumaat.
- Foto FB Abdul Rahman
Abdul Rahman (tiga dari kiri) bersama replika cek sempena CSR Parlimen Lipis dengan LLM pada Jumaat. - Foto FB Abdul Rahman
A
A
A

LIPIS - Bandar Pertahanan di Kechau di sini menawarkan peluang pekerjaan kepada kira-kira 2,000 pekerja seluruh negara yang mahir bidang kejuruteraan persenjataan.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, mereka akan mula bekerja di kilang tersebut pada awal tahun hadapan.

Abdul Rahman menyerahkan sumbangan kepada penerima terpilih sempena program CSR tersebut. - Foto FB Abdul Rahman
Abdul Rahman menyerahkan sumbangan kepada penerima terpilih sempena program CSR tersebut. - Foto FB Abdul Rahman

Menurutnya, kilang persenjataan tentera yang dibina di tapak seluas 120 hektar di Kechau itu melibatkan pembinaan kereta kebal, peluru dan beberapa kelengkapan pertahanan antara terbesar di Asia.

“Ia bakal mewujudkan peluang pekerjaan berskala besar kepada 2,000 orang pekerja bidang kejuruteraan persenjataan termasuk teknikal, pengurusan, sekali gus turut merancakkan ekonomi domestik dan meningkatkan pendapatan negara," katanya.

Beliau berkata demikian pada Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Parlimen Lipis dengan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah di sini pada Jumaat.

Abdul Rahman berkata, pembukaan kilang pembuatan peralatan dan pemasangan jentera berat untuk kegunaan pertahanan dan ketenteraan itu antara usaha Kerajaan Persekutuan memberikan kesejahteraan kepada rakyat serta pada masa yang sama mewujudkan pusat pertumbuhan di luar bandar.

Ujar beliau lagi, kilang tersebut akan dibina dalam tiga fasa dan setiap fasa berkeluasan 40 hektar.

Artikel Berkaitan:

Jelas Abdul Rahman yang juga Ahli Parlimen Lipis, fasa pertama akan mula beroperasi selepas dirasmikan oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada 18 Januari 2024.

Katanya, setiap fasa melibatkan peruntukan RM400 juta dan keseluruhannya projek itu menelan peruntukan RM1.2 bilion.

“Berkaitan tenaga kerja, ramai pekerja bahagian teknikal, pegawai atasan dan jurutera telah pun dihantar mengikuti latihan di Turkiye dan bakal bekerja setelah kilang mula beroperasi awal tahun depan.

"Mereka yang dihantar mengikuti latihan di sana apabila pulang ke tanah air akan memberi latihan kepada pekerja lain berkaitan pembuatan dan juga aspek keselamatan," katanya.