Karnival Silat Kebangsaan 2023 tarik 3,000 penyertaan

Aksi pesilat cilik pada Karnival Silat Kebangsaan 2023. - Foto FB Hishamuddin Abdul Karim
Aksi pesilat cilik pada Karnival Silat Kebangsaan 2023. - Foto FB Hishamuddin Abdul Karim
A
A
A

KUALA NERUS - Karnival Silat Kebangsaan 2023 yang diadakan selama empat hari bermula Khamis lalu berjaya mencapai matlamatnya apabila menarik hampir 3,000 penyertaan dari seluruh negara.

Exco Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Hishamuddin Abdul Karim berkata, program itu bertujuan memastikan budaya persilatan terus kekal terpelihara selain terus berkembang pada masa akan datang.

"Kerajaan negeri amat menggalakkan penganjuran program sebegini untuk dianjurkan di Terengganu. Ini kerana ia amat memberi manfaat kepada penduduk sekitar selain meningkatkan pulangan ekonomi domestik serta menarik pelaburan ke negeri ini melalui aktiviti sukan.

Hishamuddin - Foto FB Hishamuddin Abdul Karim
Hishamuddin - Foto FB Hishamuddin Abdul Karim

"Sepertimana bercambah kedai basikal di negeri ini menghasilkan usahawan yang berjaya dengan hasil kejayaan menjadikan Terengganu sebagai 'Land of Cyclists', maka itulah harapan saya kepada sukan silat agar tidak terus hilang di bumi ini.

"Kita juga harapkan perkara sama di mana gelanggang-gelanggang silat akan bertambah di seluruh Terengganu sehingga akhirnya melahirkan pelapis (silat) makin berbakat pada masa akan datang," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Karnival Silat Kebangsaan 2023 di Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Negeri Terengganu dekat sini pada malam Jumaat.

Mengulas lanjut, Hishamuddin berkata, kerajaan negeri terus membantu pelaksanaan sukan tersebut dalam pelbagai bentuk yang termampu terutama melibatkan kemudahan, peralatan, pengangkutan dan lain-lain bantuan.

Artikel Berkaitan:

Aksi pesilat pada Karnival Silat Kebangsaan 2023. - Foto FB Hishamuddin Abdul Karim
Aksi pesilat pada Karnival Silat Kebangsaan 2023. - Foto FB Hishamuddin Abdul Karim

Beliau menambah penganjuran program tersebut yang diadakan pada 14 hingga 17 Disember ini merupakan julung kali dianjurkan oleh Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islam Malaysia (Pekida) Negeri Terengganu dengan kerjasama Persekutuan Silat Kebangsaan (Pesaka) Negeri Terengganu.

Selain itu, katanya, pelbagai program lain turut diadakan seperti pameran agensi dan korporat, pameran produk muslim, pameran senjata Melayu, pertunjukan silat; pertandingan mewarna, forum dan ceramah serta pelbagai jualan dan cabutan bertuah.