KBS salur hampir RM100,000 kepada sekolah agama Kedah

Hannah Yeoh (tengah) menyaksikan simbolik persembahan sukan pada Majlis Penyerahan Peruntukan Dana Sukan Komuniti dan Peralatan Sukan untuk Sekolah Agama Rakyat Kedah di SEMESTI di sini pada Isnin.
Hannah Yeoh (tengah) menyaksikan simbolik persembahan sukan pada Majlis Penyerahan Peruntukan Dana Sukan Komuniti dan Peralatan Sukan untuk Sekolah Agama Rakyat Kedah di SEMESTI di sini pada Isnin.
A
A
A

ALOR SETAR - Kementerian Belia dan Sukan (KBS) meluluskan peruntukan dana hampir RM100,000 untuk sukan komuniti dan peralatan sukan kepada Sekolah Agama Rakyat Negeri Kedah.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, daripada jumlah itu, sebanyak RM47,000 diperuntukkan bagi membolehkan penganjuran Kejohanan Sukan Sekolah-Sekolah Agama Negeri Kedah.

Beliau berkata, KBS meluluskan peruntukan terbabit sebagai menyokong penganjuran kejohanan, sekali gus menggembleng usaha perkembangan sukan peringkat akar umbi.

"Saya turut dimaklumkan Persatuan Pengetua bahawa pelajar-pelajar sekolah agama rakyat Kedah ini mempunyai potensi tinggi dalam bidang sukan, namun kekangan peralatan dan kemudahan menjadi penghalang bagi mereka untuk terus berkembang dan menonjolkan kemampuan mereka pada tahap maksimum.

"Melihatkan kepada kesungguhan dan komitmen ditunjukkan pelajar-pelajar ini, saya telah meluluskan peruntukan sebanyak RM30,000 untuk pembelian peralatan sukan seperti meja ping pong dan alat memanah sebagai persediaan kejohanan yang akan datang," katanya.

Beliau berkata sedemikian pada Majlis Penyerahan Peruntukan Dana Sukan Komuniti dan Peralatan Sukan untuk Sekolah Agama Rakyat Kedah di Sekolah Menengah Sains Tahfiz Alor Setar (SEMESTI), Jalan Datuk Kumbar di sini pada Isnin.

Beliau menambah, KBS juga meluluskan peruntukan sebanyak RM20,000 lagi kepada persatuan bagi mereka menjalankan aktiviti pembangunan sukan di peringkat sekolah seperti kursus kejurulatihan, kursus asas sukan permainan dan keperluan berkaitan.

Hannah berkata, pemberian dana untuk sukan komuniti dan peralatan sukan berkenaan selaras dengan hasrat untuk mencari bakat kalangan muda yang boleh bersukan dan mengharumkan nama negara.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, beliau memaklumkan, pihaknya berharap golongan belia mempunyai aktiviti boleh mengisi masa lapang mereka,sekaligus tidak terlibat dengan aktiviti tidak bermakna ataupun kurang sihat.