Imbasan 2019: Berita tragedi

Feri dari Langkawi ke Kuala Perlis terbakar. - Foto Ehsan Ferry Line Venture Sdn Bhd
Feri dari Langkawi ke Kuala Perlis terbakar. - Foto Ehsan Ferry Line Venture Sdn Bhd
A
A
A

25 FEBRUARI 2019 - Feri terbakar selepas 10 minit bertolak

SERAMAI 52 penumpang dan tujuh kru berdepan detik mencemaskan apabila feri dinaiki mereka terbakar secara tiba-tiba selepas 10 minit bertolak dari Terminal Feri Kuah, Langkawi.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.45 petang itu, feri penumpang terbabit dalam perjalanan dari Pulau Langkawi menuju ke Kuala Perlis sebelum terbakar.

Komander Operasi Zon 4, Timbalan Penguasa Bomba Johari Mohd Lazim mengesahkan pihak bomba menerima laporan kira-kira jam 2.48 petang berhubung kebakaran feri itu.

25 APRIL 2019 - Guru agama maut selepas tergelincir dari atas batu

SEORANG guru agama maut selepas tergelincir dari atas batu pada setinggi kira-kira lapan meter sebelum terjatuh ke dalam air di kawasan Air Terjun Sungai Lasir, Tasik Kenyir.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.45 tengah hari itu, mangsa ialah Wan Ahmad Faiz Wan Mohamed@Adnan, 36, beralamat di Taman Sri Aman Dalam, Pasir Puteh yang merupakan guru agama tahfiz Kok Lanas, Kota Bharu, Kelantan.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superitendan Mohd Adli Mat Daud berkata, mangsa bersama 18 guru tahfiz yang lain dan enam pelajar menaiki rumah bot ke kawasan Air Terjun Sungai Lasir di Tasik Kenyir untuk berkelah.

Artikel Berkaitan:

25 JUN 2019 - Empat buruh Myanmar maut tertimbus akibat tanah runtuh

EMPAT buruh warga Myanmar maut tertimbus dalam tanah runtuh di tapak pembinaan Jalan Tanjung Batu Ferringhi, Tanjung Bungah di sini.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Alam Sekitar dan Masyarakat Penyayang negeri, Phee Boon Poh, berkata, mayat tiga mangsa sudah ditemui setakat 12.15 tengah malam.

Mangsa pertama kejadian runtuhan tanah itu ditemui kira-kira jam 11.15 malam, diikuti mangsa kedua pada jam 12 tengah malam.

1 JULAI 2019 - Penumpang hilang ketika naiki feri di Pulau Pinang

SEORANG penumpang dikhuatiri hilang selepas terjatuh ketika menaiki feri dari Butterworth ke Pangkalan Sultan Abdul Halim, Pulau Pinang.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, pihaknya menerima maklumat dari pada Polis Bantuan Prasarana Feri bahawa terdapat seorang penumpang telah terjatuh dari Feri Pulau Kapas.

Menurutnya, maklumat awal diperoleh daripada seorang saksi feri lain yang ternampak mangsa terjatuh ketika feri berselisih.

14 OGOS 2019 - Remaja Ireland ditemui mati berhampiran resort

PERCUTIAN di Malaysia yang sepatutnya menjadi kenangan indah bertukar tragik bagi remaja perempuan warga Ireland, Nora Anne Quoirin yang hilang sebelum ditemui mati tidak jauh dari sebuah resort penginapan keluarganya.

Anak istimewa berumur 15 tahun itu dilaporkan hilang oleh keluarganya pada 4 Ogos, sehari selepas keluarga itu mendaftar masuk untuk percutian dua minggu di resort The Dusun, Pantai, Negeri Sembilan.

15 OGOS 2019 - Ratusan kenderaan terperangkap akibat banjir

RATUSAN kenderaan terperangkap akibat banjir kilat di sekitar Persiaran Kewajipan dari USJ menghala ke Puchong.

Insiden beberapa kenderaan yang hanyut dalam takungan air di laluan jalan berhadapan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya turut dirakam orang awam dan tular di media sosial.

1 SEPTEMBER 2019 - Dua pengunjung maut dihempap pokok

DUA pengunjung maut manakala dua lagi cedera selepas dihempap pokok tumbang ketika berkhemah di Air Terjun Lata Hammer di sini.

Dalam kejadian kira-kira jam 10 malam itu, dua mangsa terlibat, Winnie Tan Gaik Kin, 40-an, beralamat di Kuala Lumpur dan Chin Kean Hwa, 50-an, dari Puchong, Selangor disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Yusuf Unis berkata, dua lagi pengunjung,Tan Wai Hong, 40-an, beralamat di Kuala Lumpur dan Leong Yau Lai, 30-an, dari Teluk Intan, Perak dilaporkan cedera dalam kejadian itu.