Tinggalkan pentas secara tiba-tiba, Jennie Blackpink mohon maaf

Jennie menyatakan dia mengalami masalah keletihan kronik, maka keputusan terbaik adalah dengan memilih untuk meninggalkan konsert itu demi menjaga kesihatannya. - Foto fail Awani
Jennie menyatakan dia mengalami masalah keletihan kronik, maka keputusan terbaik adalah dengan memilih untuk meninggalkan konsert itu demi menjaga kesihatannya. - Foto fail Awani
A
A
A

SEORANG ahli kumpulan K-Pop terkenal Blackpink, Jennie, yang bertindak meninggalkan pentas persembahan secara tiba-tiba tampil membuat permohonan maaf khusus buat para peminat yang hadir ke konsert mereka baru-baru ini.

Menerusi platform Instagram, Jennie mengeluarkan kenyataan rasmi menjelaskan situasi semasa memandangkan perkara itu menjadi bualan hangat dunia hiburan.

"Saya minta maaf kerana tidak dapat menghabiskan persembahan pada Ahad lalu," katanya.

Jennie meluahkan rasa kecewanya dan akui keputusan itu bukanlah sesuatu yang mudah, namun kesihatan dan keadaan fizikalnya menjadi keutamaan.

Dia menyatakan dia mengalami masalah keletihan kronik, maka keputusan terbaik adalah dengan memilih untuk meninggalkan konsert itu demi menjaga kesihatannya.

Dalam kenyataan sama, Jennie berterima kasih kepada peminat yang memahami tentang keadaan kesihatannya.

Rata-rata peminat Blackpink seluruh dunia memberikan respon positif terhadap kenyataan itu dengan menghantar mesej sokongan dan mendoakan agar Jennie diberikan kesembuhan sepenuhnya menerusi media sosial.

Kejadian berlaku ketika berlangsungnya konsert Blackpink di Rod Laver Arena, Melbourne, Australia pada Ahad apabila Jennie terpaksa meninggalkan pentas ketika sedang mempersembahkan lagu kelima mereka pada malam tersebut.

Konsert Blackpink di Melbourne adalah sebahagian daripada jelajah dunia mereka yang sangat dinanti-nantikan oleh peminat-peminat kumpulan itu.

Walaupun kejadian ini mengejutkan, peminat tetap menghormati keputusan Jennie untuk menjaga kesihatannya sekali gus berharap beliau dapat segera pulih dan kembali ke pentas dengan semangat yang baru.

Blackpink yang terdiri daripada empat ahli iaitu Jennie, Jisoo, Lisa, dan Rosé, telah memenangi hati peminat genre K-Pop di seluruh dunia dengan lagu-lagu mereka yang rancak dan gaya persembahan yang bertenaga.

Mereka telah memperoleh populariti besar sejak penubuhan pada 2016 sehingga kini. Mereka juga merupakan salah satu kumpulan K-Pop yang mencatat kejayaan dalam industri muzik antarabangsa selain BTS. - Awani