Pengeluaran minyak mentah, kondensat naik kepada 45 juta tong

Gambar hiasan - Foto Bernama
Gambar hiasan - Foto Bernama
A
A
A

PENGELUARAN minyak mentah dan kondensat mencatat 45.9 juta tong pada suku ketiga 2023, meningkat 0.3 peratus berbanding setahun lepas, kata Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, kenaikan itu disumbangkan terutamanya oleh kondensat yang mencatat pertumbuhan 16.2 peratus berbanding 11.3 peratus pada suku sebelumnya.

"Dari segi komposisi, minyak mentah menjadi penyumbang tertinggi sebanyak 72.1 peratus atau 33.1 juta tong manakala kondensat merangkumi 27.9 peratus atau 12.8 juta tong,” katanya dalam kenyataan Statistik Perlombongan Petroleum Dan Gas Asli Bagi Suku Ketiga 2023 yang dikeluarkan hari ini.

Selain itu, pengeluaran gas asli susut 2.1 peratus kepada 677.8 bilion kaki padu pada suku berkenaan manakala pengeluaran minyak mentah dan kondensat berkembang 0.9 peratus berbanding suku sebelumnya dan pengeluaran gas asli pulih kepada 0.2 peratus daripada negatif 7.7 peratus yang direkodkan pada suku sebelumnya.

Mengulas prestasi perdagangan luar negara, Mohd Uzir berkata, nilai eksport petroleum mentah dan kondensat meningkat kepada RM7.8 bilion pada suku ketiga 2023 daripada RM6.5 bilion dalam suku sebelumnya.

"Thailand merupakan destinasi eksport utama bagi petroleum mentah dan kondensat pada suku ini dengan nilai sebanyak RM2.3 bilion (29.3 peratus), diikuti Jepun (23.3 peratus) dan Australia (18.3 peratus),” katanya.

Menurut DOSM, nilai eksport keluaran petroleum bertapis berjumlah RM31.0 bilion dengan 18.5 peratus dieksport ke Singapura, Australia (16.8 peratus) dan Indonesia (13.6 peratus).

"Pada suku ini, nilai eksport gas asli cecair (LNG) direkodkan lebih rendah yang berjumlah RM12.5 bilion.

Artikel Berkaitan:

"Nilai import petroleum mentah dan kondensat berkurangan kepada RM12.5 bilion pada suku ini dengan lebih separuh atau 53.9 peratus diimport dari Arab Saudi pada nilai RM6.7 bilion, Emiriah Arab Bersatu (18.2 peratus) dan Amerika Syarikat (6.0 peratus),” katanya.

Selain itu, import keluaran petroleum bertapis juga menunjukkan penurunan pada suku ini dengan nilai RM30.6 bilion manakala nilai import tertinggi sebanyak RM10.9 bilion atau 35.4 peratus dari Singapura, China (13.9 peratus) dan Korea Selatan (10.5 peratus).

"Bagi LNG, nilai import mencapai RM1.6 bilion dengan import dari Australia berjumlah RM1.4 bilion atau 86.3 peratus manakala Brunei Darussalam menyumbang sebanyak 13.7 peratus," katanya. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!