Kehadiran penonton GP Malaysia 2023 meningkat

Sebahagian penonton yang hadir menyaksikan perlumbaan GP Malaysia 2023 di SIC. - Foto Bernama
Sebahagian penonton yang hadir menyaksikan perlumbaan GP Malaysia 2023 di SIC. - Foto Bernama
A
A
A

SERAMAI 182,912 penonton hadir menyaksikan Kejuaraan Motosikal Grand Prix (GP) Malaysia 2023 yang berlangsung selama tiga hari di Litar Antarabangsa Sepang (SIC).

Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Azhan Shafriman Hanif juga bersyukur apabila kehadiran musim ini mengatasi jumlah 163,567 penonton tahun lalu hasil kerjasama semua pihak yang bertungkus lumus memastikan perjalanan perlumbaan itu berjalan lancar.

Selepas kejayaan itu jelas Azhan Shafriman, pihaknya kini akan mengalihkan tumpuan kepada penambahbaikan permukaan SIC mengikut saranan pemegang hak MotoGP, Dorna Sports dan Persekutuan Motosikal Antarabangsa (FIM).

Katanya, proses tersebut akan dilakukan sebelum Ujian Pra Musim Grand Prix (MotoGP) 2024, dijangka bermula pada Februari depan.

“Kita ada dapat maklum balas daripada FIM dan Dorna Sports untuk buat sedikit penambahbaikan di selekoh 7 (ada bump) dan 9 yang perlu diperbaiki, sebelum tahun hadapan.

“Alhamdulillah tiada insiden yang besar kerana walaupun ada pelumba jatuh, tiada yang teruk tahun ini. Jadi kita akan duduk balik dengan pihak kontraktor macam mana boleh ditambah baik,” katanya kepada pemberita di Sepang.

Sebagai rekod, seramai 21,364 penonton telah direkodkan hadir ke SIC pada Jumaat, diikuti 70,911 (Sabtu) dan 90,637 pada hari perlumbaan iaitu Ahad.

Saingan GP Malaysia menyaksikan pelumba Ducati Lenovo Team Enea Bastianini merangkul kemenangan pertamanya musim ini, selepas memenangi perlumbaan kelas MotoGP.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Fermin Aldeguer dari Beta Tools SpeedUp menjuarai kelas Moto2, manakala Collin Veijer dari Liqui Moly Husqvarna Intact GP memenangi gelaran Moto3.