Wilayah Persekutuan catat 90.51 peratus lulus UPSRA

Muhammad Rayyan Rizqin (kanan) dan Safiyyah Puteri (kiri) dinobat murid terbaik UPSRA Wilayah Persekutuan.
Muhammad Rayyan Rizqin (kanan) dan Safiyyah Puteri (kiri) dinobat murid terbaik UPSRA Wilayah Persekutuan.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Wilayah Persekutuan mencatatkan keputusan 90.51 peratus lulus keseluruhan bagi Ujian Pencapaian Sekolah Rendah Agama (UPSRA) 2023.

Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), Datuk Mohd Ajib Ismail berkata, seramai 8,711 calon telah mendaftar untuk menduduki peperiksaan UPSRA bagi tahun 2023.

Menurutnya, daripada jumlah itu, seramai 295 calon memperoleh sembilan Mumtaz, 305 calon memperoleh lapan Mumtaz dan 330 orang memperoleh tujuh Mumtaz.

"Mata pelajaran Al-Quran dan Hafazan mencatatkan peratusan lulus tertinggi iaitu 99.93 peratus.

"Institusi terbaik keseluruhan bagi UPSRA 2023 ialah Sekolah Integrasi Rendah Agama Jawi (SIRAJ) Saidina Uthman bin Affan dengan Gred Purata Sekolah (GPS) 1.39," katanya pada Majlis Pengumuman UPSRA di Dewan Masjid Saidina Uthman bin Affan, Bandar Tun Razak pada Jumaat.

Calon UPSRA 2023 terdiri 423 calon SIRAJ, 4,747 calon Sekolah Rendah Agama (SRA), 3,095 calon Kelas Al-Quran dan Fardhu Ain (Kafa) serta 446 orang daripada sekolah-sekolah swasta yang berdaftar dengan Jawi.

UPSRA meliputi mata pelajaran Al-Quran dan Hafazan, Bahasa Arab, Jawi & Khat, Feqah, Akhlak, Tauhid, Tajwid, Sirah dan Projek Berasaskan Sekolah.

Pada program berkenaan, Muhammad Rayyan Rizqin Ahmad Fitri dari SRA Mahmoodiah dan Safiyyah Puteri Azwan dari Sekolah Integrasi SIRAJ Saidina Uthman Bin Affan telah dinobat pelajar lelaki dan perempuan terbaik.

Artikel Berkaitan:

Mohd Ajib berkata, UPSRA dilaksanakan bertujuan untuk memastikan tahap pembelajaran murid berdasarkan Kurikulum Sekolah Rendah Agama (KSRA) dapat dicapai.

"Konsep pentaksiran Ujian Pencapaian Sekolah Rendah Agama (UPSRA) terdiri amali, penilaian lisan atau syafawi dan penilaian berasaskan projek.

"Ujian tersebut menjadi indikator penting untuk mengukur kemenjadian murid dalam segenap aspek sekali gus menjadi nilai tambah dalam proses pemilihan murid bagi kemasukan ke sekolah menengah pada setiap tahun," katanya.

Dalam pada itu, murid yang telah menduduki UPSRA boleh mendapatkan slip keputusan di sekolah atau institusi masing-masing mulai jam 3.00 petang, Jumaat.