'Harapan saya semoga tahun depan lebih baik' - PU Azman

PU Azman
PU Azman
A
A
A

SELEPAS melalui fasa sukar sepanjang tahun ini kerana berdepan pertuduhan melakukan amang seksual terhadap remaja, Pencetus Ummah (PU) Azman Syah Alias mengharapkan tahun depan dapat dilaluinya dengan lebih baik.

Beliau yang hadir ke Mahkamah Sesyen Seremban pada Jumaat untuk prosiding perbicaraan kes tersebut kelihatan terus kekal positif, malah lebih tenang berbanding biasa.

"Doa yang terbaik untuk Cik Man. Doa yang terbaik.

"Harapan saya semoga tahun depan lebih baik dan saya juga bersyukur dengan apa yang telah berlaku," katanya ditemui pemberita pada Jumaat.

Sementara itu peguamnya, Mohamad Zahid Ahmad turut meminta peminat PU Azman mendoakan yang terbaik untuknya termasuk keputusan kes di Mahkamah Sesyen Klang yang dijadualkan pada 26 Disember ini.

"Saya minta kepada peminat dan penyokong dia (PU Azman) doakan yang terbaik untuk dia. Saya sebagai peguam, kena cakap begitulah.

"Memang kita nak yang terbaik untuk anak guam kita dan harap dia dilepaskan. Apa-apa pun tunggulah keputusan nanti, semua ALLAH yang punya kuasa," katanya.

Sementara itu, beliau memaklumkan prosiding perbicaraan di Mahkamah Sesyen Seremban akan bersambung pada 22, 23, 24 dan 26 April tahun hadapan.

Artikel Berkaitan:

Katanya, dijangka tiga lagi saksi akan dipanggil termasuk pegawai penyiasat untuk memberi keterangan.

Azman yang juga dikenali sebagai Cik Man menghadapi 12 pertuduhan seksual iaitu lima pertuduhan di Mahkamah Sesyen Seremban, empat kes di Mahkamah Majistret dan Sesyen Klang, satu pertuduhan di Mahkamah Sesyen Ampang serta dua kes di Mahkamah Shah Alam.

Kali pertama beliau dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Seremban pada 12 Oktober tahun lalu atas lima pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap dua remaja lelaki pada Februari dan Julai tahun lalu.

Dia didakwa melakukan amang seksual fizikal ke atas remaja berusia 16 dan 17 tahun itu dengan cara melakukan perbuatan kelucahan melampau.

Kesalahan itu dilakukan di tandas dan ruang tamu sebuah rumah di Taman Tiara Sendayan di Nilai, Negeri Sembilan pada 6 Julai 2022.

Azman kemudian dituduh di Mahkamah Sesyen Ampang pada 21 Disember tahun lalu kerana melakukan amang seksual fizikal terhadap remaja lelaki berusia 17 tahun di sebuah bilik resort di Hulu Langat, pada waktu tengah hari 22 Julai tahun lalu.

Beliau turut berdepan empat lagi pertuduhan di dua mahkamah lain berhubung kesalahan jenayah seksual yang didakwa dilakukannya terhadap dua kanak-kanak dan seorang lagi remaja.