Penyeludup sembunyi diesel di stor haram

Azman menunjukkan alat yang digunakan untuk mengepam diesel dari tangki kenderaan ke tong.
Azman menunjukkan alat yang digunakan untuk mengepam diesel dari tangki kenderaan ke tong.
A
A
A

TUMPAT - Sebanyak 96 stor haram dikesan sepanjang Sungai di Pengkapan Kubur di sini sehingga ke Jeli dalam Ops Bersepadu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan.

Pengarahnya, Azman Ismail berkata, bagaimanapun penggeledahan di lima stor haram di Jalan Kaspan menemui diesel yang disembunyikan dipercayai untuk diseludup ke negara jiran.

Menurut beliau, hasil penggeledahan menemui beberapa peralatan yang digunakan untuk mengosongkan tangki minyak kenderaan dan tong mengisi bahan api itu.

"Ketika menggeledah stor keempat, seorang lelaki sedang mengosongkan tangki minyak kenderaan, bagaimanapun suspek sempat melarikan diri ke sungai berdekatan dengan menaiki bot," katanya.

Tambah beliau, lelaki berkenaan turut dipercayai bertindak sebagai penyeludup bahan api itu.

Jelasnya, dalam operasi sama, anggota penguat kuasa turut merampas beberapa buku yang dicatat jumlah transaksi diesel, sebuah kereta dan tiga tong berisi diesel.

Azman menunjukkan stor haram yang digeledah dan menemui diesel yang dipercayai untuk diseludup ke negara jiran.
Azman menunjukkan stor haram yang digeledah dan menemui diesel yang dipercayai untuk diseludup ke negara jiran.

"Hasil semakan kita dapati ada di antara mereka melakukan antara 40 hingga 50 transaksi dalam sehari manakala bayaran yang diterima ialah RM230 untuk satu trip.

Artikel Berkaitan:

"Pemindahan daripada tangki kenderaan ke tong pula tidak sampai lima minit menggunakan pam penyedut yang dibuat khas," katanya.

Azman memberitahu, penggeledahan di lima stor haram itu mendapati modus operandi yang sama iaitu melakukan pengisian di stesen minyak dengan menggunakan kenderaan yang mematuhi undang-undang sebelum pergi ke pangkalan haram dan mengosongkan tangki.

Bagaimanapun jelas beliau lagi, sukar untuk pihak penguat kuasa memeriksa kesemua stor kerana membabitkan tanah persendirian dan tidak semuanya didapati aktif.

Azman berkata, pemeriksaan juga mendapati penyeludup menggunakan zink atau konkrit setinggi lebih tiga meter di sekitar stor bagi mengaburi mata pihak berkuasa dan melindungi kegiatan mereka.