Ringgit ditutup tinggi berbanding dolar AS selepas susut 3 hari berturut-turut

Gambar hiasan -123RF
Gambar hiasan -123RF
A
A
A

RINGGIT ditutup tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini selepas menyusut selama tiga hari berturut-turut berikutan Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS) memperlihatkan hasrat untuk menurunkan Kadar Dana Persekutuan (FFR) pada 2024.

Pada jam 6 petang, ringgit meningkat kepada 4.6695/6745 berbanding dolar AS daripada 4.7035/7085 semasa ditutup pada Rabu.

Ketua Ahli Ekonomi dan Kewangan Sosial Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) telah memutuskan untuk mengekalkan FFR tidak berubah pada 5.25-5.50 peratus berikutan mesyuarat terbarunya.

"Keputusan itu dibuat selepas tempoh pertumbuhan ekonomi yang teguh pada suku ketiga 2023 apabila Keluaran Dalam Negara Kasar berkembang sebanyak 5.2 peratus berdasarkan pelarasan bermusim suku tahunan, kenaikan ketara daripada pertumbuhan 2.1 peratus pada suku kedua 2023.

"Kini semakin ramai peserta menyarankan FFR boleh diturunkan kepada julat 4.5 hingga 5.0 peratus pada 2024, dengan 11 ahli bersetuju, meningkat daripada tujuh ketika ramalan pada September,” katanya.

Beliau berkata, sentimen menyeluruh kalangan ahli FOMC memperlihatkan kecenderungan kepada penurunan kadar faedah dengan persetujuan bersama bahawa kadar pengurangan selanjutnya mungkin diperlukan untuk memandu ekonomi menuju ‘pemulihan bertahap,’ terutamanya selepas peningkatan kumulatif kadar itu sebanyak 525 mata asas sejak Mac 2022.

"Pada masa depan, pasaran akan melihat sebarang isyarat kelemahan ekonomi untuk menyelaraskan masa bagi penurunan kadar pada 2024.

"Pengurangan hasil bon menunjukkan peserta pasaran bon menjangkakan persekitaran kadar faedah lebih rendah pada 2024,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Pada penutupan dagangan, ringgit diniagakan lemah berbanding sekumpulan mata wang utama.

Unit domestik rendah berbanding pound Britain kepada 5.9130/9193 daripada 5.8916/8979 semasa ditutup semalam, merosot berbanding euro kepada 5.0888/0943 daripada 5.0737/0791 semalam dan berkurangan berbanding yen Jepun kepada 3.2977/3024 daripada 3.2977/3014.

Ringgit turut diniagakan lebih rendah berbanding beberapa mata wang Asia meskipun meningkat berbanding peso Filipina kepada 8.37/8.38 daripada 8.39/8.40 semasa ditutup pada Rabu.

Mata wang tempatan menyusut berbanding rupiah Indonesia kepada 301.1/301.6 daripada 300.2/300.8 semasa akhir dagangan semalam, turun berbanding dolar Singapura kepada 3.5101/5141 daripada 3.5001/5041 dan berkurangan berbanding baht Thailand kepada 13.3205/3424 daripada 13.3205/31.54 sebelum ini. - Bernama