Pemain TFC berhak dapat pujian

Pemain Terengganu FC, Ivan Mamut (kanan) diasak pemain Bali United FC Kadek Arel Priyatna (kiri) pada perlawanan Piala AFC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin malam ini. - Foto Bernama
Pemain Terengganu FC, Ivan Mamut (kanan) diasak pemain Bali United FC Kadek Arel Priyatna (kiri) pada perlawanan Piala AFC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin malam ini. - Foto Bernama
A
A
A

PENGENDALI Terengganu FC (TFC), Tomislav Steinbruckner menyifatkan para pemainnya berhak mendapat pujian walaupun gagal untuk muncul juara Kumpulan G, Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).

Menurutnya, para pemain TFC telah menunjukkan persembahan luar biasa apatah lagi mengakhiri saingan peringkat kumpulan dengan keputusan tanpa kalah.

"Saya ingin mengucapkan tahniah kepada pemain saya. Mereka berhak mendapat tepukan selepas enam perlawanan, TFC mencatatkan tiga kemenangan dan tiga seri.

"Namun, kami tidak bernasib baik kerana berada di kedudukan kedua kumpulan G. Saya agak risau dengan perlawanan ini terutama selepas final (Piala Malaysia), tetapi pemain memberikan yang terbaik dan saya gembira," katanya dalam sidang akhbar selepas perlawanan.

TFC menamatkan aksi peringkat kumpulan dengan kemenangan 2-0 ke atas Bali United FC, namun kemenangan tersebut belum cukup untuk pasukan pantai timur itu menjadi juara Kumpulan G.

Pasukan dari Australia, Central Coast Mariners berjaya menjuarai kumpulan tersebut dengan kemenangan ke atas Stallions untuk mengumpul 13 mata.

TFC pula hanya dibezakan satu mata selain turut gagal menjadi pasukan naib juara terbaik untuk menempah slot ke pusingan kalah mati.

Dalam pada itu, Steinbruckner mengakui kegagalan untuk memungut mata penuh ketika seri 2-2 berdepan Stallions di laman sendiri pada Oktober lalu menjadi antara punca kegagalan pasukan itu ke pusingan kalah mati.

Artikel Berkaitan:

"Kami sebenarnya telah bermula dengan baik menang ke atas Central Coast Mariners dan beberapa keputusan positif lain. Tetapi, ini lah bola sepak. Saya minta maaf kami tidak dapat mara ke pusingan seterusnya," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!